Pemilihan Bukti Demokrasi Subur, Siti Hajar Tawar Diri Bantu Kukuhkan Kembali UMNO

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Demokrasi dalam UMNO masih subur dan amalan ini terus dipelihara dalam parti, kata Ketua Wanita UMNO Pahang, Datuk Siti Hajar Mubin.

Jelasnya, konsep demokrasi ini telah terbukti sekian lama bagi memperkasakan lagi UMNO biarpun gagal menjadi pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“UMNO sememangnya berkonsepkan demokrasi dan ianya subur apabila ahli parti diberi peluang untuk bertanding di mana saja. Tanpa demokrasi kita tidak akan dapat menguatkan parti. Melalui demokrasi ini kita akan dapat cari pemimpin yang ikhlas dan jujur tambahan pula dalam keadaan amat getir dan sukar kerana dua kali kalah pada PRU.

“Dengan adanya demokrasi ini peluang pada semua ahli untuk bertanding. Ahli boleh menawarkan diri pada waktu UMNO susah… bukannya senang sahaja dan ini bermakna ahli parti mahu bersama membina, memperkukuhkan serta mengangkat martabat UMNO kembali,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Beliau turut menawarkan diri sebagai Exco Wanita UMNO Malaysia mengharapkan agar dapat memperbaiki ‘Jalinan Rakyat’ setelah semangat itu semakin pudar selepas kekalahan pada PRU lalu.

“Saya mahukan wanita khasnya jalinan rakyat berada di tahap yang bersemangat. Insya-Allah, kita akan pulihkan semangat supaya terus ke hadapan kerana kita sebagai ‘pengetuk gong’ akan terus maju ke hadapan demi UMNO bernafas kembali pada masa PRU-16 nanti,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga bekas Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional berkata sekiranya diberi peluang menjawat jawatan Exco Wanita UMNO Malaysia beliau akan membantu wanita bagi mempertingkatkan lagi ekonomi.

“Melalui pengalaman berkhidmat di Tekun Nasional, tujuan utama adalah membantu wanita-wanita di seluruh negara terutamanya dapat meningkatkan lagi ekonomi wanita terutamanya ibu tunggal dan golongan B40.

“Skim Tekun Agrofarm turut diwujudkan bagi memudahkan golongan wanita menjana ekonomi tambahan seperti penternakan, sangkar ikan, perniagaan kecil-kecilan dan sebagainya,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.