Jadikan Pemilihan UMNO Ini Satu Pertandingan Yang Sihat – Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyeru anggota parti agar menjadikan pertandingan Pemilihan UMNO 2023-2026 sebagai satu pertandingan yang sihat.

Katanya, pertandingan ini dalam kalangan ahli keluarga UMNO dan matlamat utama memastikan keharmonian parti terus terpelihara.

“Untuk mencapai matlamat ini maka jadikan pemilihan parti sebagai paling sihat, yang paling ‘gentlemen’ dan harap supaya semuanya dapat menjiwai pemilihan untuk dihormati oleh ahli-ahli parti dan masyarakat.

“Saya yakin dan percaya calon-calon yang bertanding akan menawarkan diri dan bertanding secara sihat malah perwakilan akan memilih calon-calon yang terbaik di kalangan yang terbaik untuk mewakili mereka di dalam parti.

“Saya juga mengalu-alukan seramai mungkin pemimpin-pemimpin dari pelbagai peringkat untuk turut serta menawarkan diri dan berjuang serta memberikan khidmat dan pemikiran kerana UMNO memerlukan garapan serta pemikiran dari semua peringkat umur dan lapisan kepimpinan,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Beliau yang turut mempertahankan jawatan Ahli MKT UMNO memohon sokongan daripada semua perwakilan UMNO agar terus memperkasakan parti.

“Saya akan menyumbangkan tenaga seterusnya memperkukuh parti agar terus relevan dan diterima oleh rakyat serta berjaya kembali sebagai parti dominan di dalam pilihan raya akan datang.

“Saya diberi peluang oleh parti untuk bertanding sebagai ahli Parlimen Jelebu bagi penggal kedua dan tentunya mengambil tanggungjawab yang diberikan amanah oleh parti untuk turut sama terlibat dalam MKT,” jelas beliau.

Seterusnya kata Ketua UMNO Bahagian Jelebu itu, kebangkitan pelbagai lapisan untuk turut menawarkan diri bertanding pada pemilihan ini amat baik.

“Ini adalah satu petanda baharu kebangkitan apabila pelbagai lapisan peringkat umur turut menawarkan diri bagi memberikan khidmat terbaik untuk ketumbukan UMNO pada masa-masa akan datang.

“Marilah sama-sama kita menyusun semula kekuatan dan kesepaduan parti untuk sebuah perjuangan yang cukup bermakna dan bernilai ini,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.