Haslinda Yakin UMNO Tetap Relevan, Pemilihan Ruang Suarakan Idea

KUALA LUMPUR, 22 Feb – UMNO merupakan parti yang banyak memberi peluang kepada ahli-ahlinya termasuk anak muda bagi menyuarakan pendapat dan idea, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh.

Menurutnya, perkembangan itu adalah sesuatu yang sihat apabila keinginan anak muda diketengahkan malah penglibatan mereka dalam bidang politik melalui UMNO adalah atas keupayaan yakin dan percaya terhadap UMNO. “Saya pasti ramai barisan pelapis terutama anak-anak muda yang ingin bersama dalam parti pada pemilihan kali ini kerana mereka percaya UMNO masih lagi relevan dan barisan pelapis ini diharapkan dapat mengembalikan semula kegemilangan UMNO yang pernah dikecapi satu masa dulu.

“Walaupun ramai yang akan bertanding sama ada di Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri namun pertandingan ini dalam suasana kekeluargaan yang masing-masing membawa misi serta matlamat untuk diterjemahkan selepas selepas pemilihan nanti.

“Dari dahulu sehingga kini UMNO tidak menyekat mana-mana ahli yang akan bertanding dalam apa jua jawatan malah kini UMNO perlu bangkit semula sebagai satu parti yang kuat dan relevan di mata rakyat,” kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis itu kepada UMNO Online, di sini.

Beliau juga turut menawarkan diri bagi jawatan Exco Wanita menasihati kepada semua perwakilan yang akan mengundi agar bersikap rasional memilih calon yang bertanding secara bijaksana.

“Saya berharap biarlah bertanding dalam satu pertandingan kekeluargaan. Jangan buruk memburukkan, bantai membantai, hentam menghentam, bertandinglah secara baik dan harmoni serta perlu jaga perpaduan sesama ahli UMNO selepas pemilihan.

“Bagi mana-mana yang berjaya dalam pemilihan ini diraikan dan yang tidak berjaya jangan ditinggalkan malah mengajak sekali bagi membina semula UMNO yang sentiasa berkhidmat untuk rakyat dahulu, kini dan selamanya,” tegasnya.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2023.

Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac 2023. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.