Pemilihan UMNO Bukti Kematangan, Tanggungjawab Dukung Perjuangan – Norliza

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Rahim berpandangan Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 ini membawa manifestasi tersendiri kepada perjuangan UMNO.

Ini kerana katanya, Pemilihan UMNO membuktikan kematangan dalam kalangan ahli parti terhadap dasar tanggungjawab bagi mendukung agenda parti keramat.

“Uniknya UMNO ini parti keramat walaupun kita ini kalah banyak kerusi tetapi makin ramai orang yang menawarkan diri untuk bertanding sama ada di peringkat cawangan, bahagian dan Pusat.

“Saya rasa ini menunjukkan bahawa ahli-ahli UMNO telah matang dan menawarkan diri untuk membawa visi serta misi masing-masing bagi membawa parti ini ke hadapan.

“Jadi, bagi saya ini menunjukkan bahawa kita memahami konteks demokrasi itu sendiri jadi tawaran itu kita buka kepada sesiapa yang ingin bertanding iaitu untuk berkhidmat kepada parti dan yang mempunyai visi serta misi untuk dibawa kehadapan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang turut sama menawarkan diri pada Pemilihan sesi ini untuk mempertahankan jawatan Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia.

Norliza bagaimanapun mengalu-alukan penyertaan dalam kalangan Wanita untuk bertanding kerana ia membuktikan keterbukaan bagi memantapkan organisasi tulang belakang UMNO.

“Jadi ini yang terbaik, saya difahamkan ramai menawarkan diri untuk Naib Ketua, Exco Wanita atau apa sahaja jawatan. Kita mengalu-alukan kerana bagi saya, kita perlu satu kombinasi yang mantap kalau ingin dilihat relevan di luar,” ujar beliau.

Beliau pada masa sama turut percaya dengan kebijaksanaan dalam kalangan perwakilan Wanita dalam memilih pemimpin terbaik dalam menggalas cabaran mendatang termasuk kedinamikkan politik semasa.

“Jadi kita mengharapkan pada kali ini ahli-ahli bawah lihat trek rekod pemimpin dan pilih yang terbaik bagi memastikan kelansungan parti ini termasuk perkara dalaman untuk menguatkan kembali parti UMNO itu.

“… dari aspek Wanita yang pertama kita perlu buat ialah laksana gerak kerja mengikut kesesuaian masa kerana tidak semestinya orang kata Wanita ini kena ada wanita muda, atau wanita tua… tidak boleh.

“Saya tidak percaya perkara itu kerana bagi saya ada kalanya mungkin wanita itu mungkin berumur tetapi ia mengikut peredaran zaman yang lebih baik dari muda.

“Jadi bagi saya kita memerlukan wanita yang proakif, progresif, dinamik, memahami keadaan semasa jadi anda boleh melakukan perubahan namun paling penting gerak kerja terbaik kerana kita ini adalah kumpulan yang terbesar dalam entiti UMNO,” ujar beliau – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.