Kes Projek Jana Wibawa: SPRM Sahkan Muhyiddin Antara Suspek – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah suspek dalam siasatan kes rasuah projek Jana Wibawa yang melibatkan dana kerajaan berjumlah RM5 bilion.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil berkata, projek tersebut telah diberikan secara rundingan terus kepada kontraktor-kontraktor yang mesra kepada parti Perikatan Nasional (PN).

“SPRM telah sahkan Muhyiddin adalah suspek dalam siasatan kes rasuah projek Jana Wibawa yang melibatkan dana kerajaan berjumlah lebih RM5 billion iaitu sebahagian daripada dana RM92.5 billion yang sedang disiasat.

“Ketua Penerangan PPBM, Datuk Wan Saiful Wan Jan akan didakwa oleh SPRM esok (hari ini) berkaitan kes rasuah projek Jana Wibawa ini. Menurut laporan, projek-projek ini telah diberikan secara rundingan terus kepada kontraktor-kontraktor yang mesra kepada parti dalam Perikatan Nasional (PN).

“…dan laporan juga menyebut kontraktor-kontraktor yang mendapat projek-projek ini didakwa telah memasukkan wang rasuah atau ‘kickback’ sebanyak RM300 juta ke dalam akaun parti PPBM,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, Isham turut berkata bahawa bekas Menteri Kewangan pada zaman pemerintahan PN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut akan memberikan keterangan kepada SPRM memandangkan Muhyiddin menuduh beliau yang bertanggungjawab di atas salah laku tersebut.

“Muhyiddin tuduh Zafrul (Menteri Kewangan) pada ketika itu yang luluskan projek-projek ini dan bukan dia (Muhyidin). Zafrul akan beri keterangan kepada SPRM kelak.

“Jika Muhyiddin yang beri arahan untuk anugerahkan projek-projek ini secara rundingan terus kepada kontraktor-kontraktor ini dan kemudian mereka memasukkan wang beratus juta ke dalam akaun parti Muhyiddin dan menggunakan duit dari akaun ini untuk kepentingan politik diri dan partinya, maka Muhyiddin boleh didapati bersalah atas kesalahan rasuah di bawah akta SPRM.

“… dan juga sesiapa pun yang terlibat dengan kesalahan rasuah ini juga boleh disiasat, didakwa dan dipenjara jika sabit kesalahan,” katanya lagi.

Pada Ahad media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.

Sumber SPRM berkata, dalam siasatan SPRM, Muhyiddin adalah suspek siasatan ketika beliau dipanggil memberi keterangan di SPRM.

Siasatan juga sedang dijalankan terhadap beberapa individu termasuk bekas Menteri Kewangan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.