Mesyuarat Cawangan Seluruh Negara Lancar, Simbolik Perpaduan Aplikasi Tanggungjawab Dalam UMNO

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Mesyuarat Cawangan yang berlangsung di seluruh negara pada ketika ini berjalan lancar seperti kelaziman penganjurannya saban tahun.

Sinonim dengan parti yang mendukung perpaduan dan demokrasi, ianya mendapat kerjasama yang baik daripada akar umbi yang hadir simbolik kepada komited serta tanggungjawab kepada parti keramat ini.

Di Wilayah Persekutuan, bagi Bahagian Putrajaya komitmen sama dirasai bagi Cawangan Matahari yang berlangsung di Presint 10 sambil dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ketua Cawangan bagi bahagian terbabit.

Beliau yang juga Bendahari UMNO Malaysia dalam ucapannya meluahkan kesyukuran dan berharap seluruh Cawangan-cawangan UMNO di bahagian terbabit melaksanakan persidangannya dengan lancar.

Sementara itu di Perak, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad menyertai serta merasmikan mesyuarat cawangan Kampung Raban di Dewan Orang Ramai, Lenggong.

Saarani yang juga Ketua UMNO Bahagian ketika berucap turut mengajak pimpinan dan ahli akar umbi untuk menjadikan pemilihan kali ini sebagai wadah sebagai menyemarakkan perjuangan parti.

“Moga kita sama-sama dapat menjernihkan nawaitu untuk sentiasa istiqomah dalam menegakkan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Mesyuarat Cawangan turut berjalan lancar di Sepanggar, Sabah apabila menerima kehadiran Ketua Bahagiannya, Datuk Yakubah Khan yang merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan Kampung Labau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai turut merakamkan kesyukuran di samping penghargaan kepada barisan kepimpinan Cawangan terdahulu atas kepimpinan terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada parti keramat ini.

Untuk rekod, Mesyuarat UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan diadakan bermula 1 Februari (Rabu) hingga 26 Februari 2023 (Ahad) iaitu selama 26 hari. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.