Pemilihan UMNO: Pilih Calon Proaktif Dan Dinamik, Bentuk UMNO Lebih Unggul

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Para perwakilan yang bakal memilih sempena Pemilihan UMNO 2023 diingatkan supaya memilih calon yang proaktif dan dinamik bagi membentuk masa depan parti lebih unggul.

Pengarah Komunikasi Strategik NGO Pemuda UMNO, Mohd Nazrin Faiz Che Abdul Aziz berkata, antara ciri pemimpin proaktif adalah tidak mempunyai agenda peribadi dikala menawarkan diri sebagai calon bagi sesuatu jawatan.

“Pertama sekali, proaktif itu kita perlu melihat seorang pemimpin yang tidak mempunyai agenda tersendiri ataupun peribadi kerana dikala kita berada dalam keadaan kalah tempoh hari, kita kena sedar bahawa kita ini mempunyai ‘rezeki’ untuk bersama-sama dalam kerajaan.

“Itu pun, kita hanya mempunyai 30 kerusi. Walaupun dengan jumlah sedemikian, kita ada enam menteri, menunjukkan kita ini ibarat ‘pijak atas duit emas’. Tetapi hakikatnya, banyak yang kita perlu lakukan antaranya dalam proses Pemilihan UMNO.

“Dalam masa inilah kita perlu memilih orang yang betul. Orang yang betul itu mungkin bukan kacak sahaja. Ia mesti satu pakej yang keseluruhan kerana kita nak memperlihatkan UMNO ini bukan bersusun-susun ataupun hanya ada satu segmen sahaja yang terlibat menjadi pemimpin dalam UMNO,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau menyeru golongan profesional dari segala bidang untuk mengambil peluang yang ada ini bagi meraikan demokrasi dalam parti.

“Kita kena memastikan dalam proses kita nak menunjukkan demokrasi ini, saya menggalakkan ramai profesional muda yang dah cukup syarat untuk ambil peluang ini bagi menunjukkan kita tidak ketandusan pemimpin.

“Cuma mungkin mereka ini berteka-teki lagi mahu bertanding dalam gelanggang atau tidak,” katanya lagi.

Menurut Mohd Nazrin, demokrasi dalam UMNO masih lagi subur kerana sudah ramai calon menawarkan diri untuk bertanding dalam Pemilihan ini sekaligus menangkis segala tanggapan jahat yang mengatakan ianya sudah terkubur.

“Apabila proses menentukan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden itu tidak dipertandingkan, itu turut menjadi proses demokrasi. Itu yang pertama.

“Kedua, saya melihat selepas sahaja pencalonan dibuka ramai yang menawarkan diri. Kalau cakap pasal demokrasi di dalam UMNO ini tidak subur, saya rasa sebaliknya bukan begitu.

“… ia satu tanggapan yang salah dan saya yakin meniti ke hari-hari menjelang 26 Februari ini, lebih ramai akan menawarkan diri. Inilah yang dikatakan pesta demokrasi sebenar sebab nak dapatkan kemenangan pun bukannya senang,” katanya lagi.

Beliau yang juga menawarkan diri sebagai calon Exco Pergerakan Pemuda UMNO itu turut menganggap bahawa demokrasi bukan sahaja mengenai jawatan pertama dan kedua tertinggi parti sebaliknya proses keseluruhan.

“Nak menang memerlukan strategi. Jadi, demokrasi itu bukan hanya tentang jawatan pertama dan kedua sahaja tetapi proses secara keseluruhannya contohnya seperti proses menawarkan diri, menunjukkan kredibiliti, meraih sokongan, itu semua demokrasi.

“Bagi saya, ini adalah satu keputusan yang dilihat oleh perwakilan sebagai keputusan paling baik untuk memastikan kelangsungan pentadbiran di Putrajaya terutamanya. Jadi, saya rasa demokrasi dalam UMNO sentiasa subur,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.