Pemilihan 2023: Buat Pilihan Bijak, Tentukan Hala Tuju Demi Kelangsungan UMNO – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berharap perwakilan seluruh negara dapat melaksanakan keputusan yang bijak dalam menentukan barisan baharu kepimpinan pada Pemilihan 2023.

Katanya ini penting dalam memperkasakan UMNO bagi meneruskan kesinambungan parti keramat yang ditubuhkan bagi membela nasib rakyat di negara ini.

“Saya yakin perwakilan yang akan memilih melaksanakan dengan rasional dan juga bagi memastikan hala tuju dan kelangsungan parti.

“Boleh kita katakan barisan yang akan dipilih ini yang akan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri, jadi perwakilan memerlukan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti yang lebih bertenaga, berwajah baharu yang dapat membantu parti dan kepimpinan untuk memperkasakan gerak kerja.

“Jadi ambil ruang Pemilihan 2023 ini untuk memilih calon-calon yang difikirkan layak dan berkebolehan untuk kita memperkasa parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Dr Najmil yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terangganu turut memaklumkan beliau menawarkan diri sebagai MKT.

Jelas beliau, berlandaskan pengalaman dalam UMNO, beliau menjanjikan perkhidmatan terbaik  di samping membawa suara anak muda dalam organisasi tertinggi parti keramat ini.

“Saya telah menyerahkan borang untuk menawarkan diri untuk bertanding MKT, mengambil peluang untuk menawarkan pengalaman yang ada dan juga wakil orang muda untuk berkhidmat dalam MKT.

“Pandangan dan arus orang muda perlu ada dalam MKT ini, ada orang muda yang berani menawarkan diri untuk kita bina semula kerana hakikatnya apa pun walaupun kita ada dalam kerajaan sebenarnya kita kalah, itu realiti.

“Kalah kerana kita kurang sokongan orang muda, jadi kita perlukan pandangan orang muda dan sokongan daripada ahli-ahli parti untuk kita mantapkan lagi MKT dan perjuangan hala tuju melalui pemikiran arus baharu dan di luar kotak,” ujar beliau.

Terdahulu pendaftaran bagi proses Pemilihan UMNO 2023 telah dibuka bermula 12 sehingga 26 Februari 2023 di Auditorium Menara Dato’ Onn bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.

Sementara itu bagi pemilihan jawatan di peringkat bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri bahagian, pendaftaran juga telah dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO Negeri. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.