Veteran UMNO Pesan Calon Ikut Peraturan Yang Ditetapkan Oleh JPU

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa menasihati calon yang bertanding pada pemilihan UMNO ini agar mengikut segala arahan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU).

Ini kerana katanya, segala kaedah dan tata etika ditetapkan sepanjang proses pemilihan ini bagi mengelakkan sebarang tindakan yang dikenakan.

“Ikutlah peraturan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) supaya jangan terlajak, jangan parti dilihat seperti tiada nilai kerana sikap sendiri yang terlajak.

“Pada pemilih, pilihlah calon-calon yang benar-benar ingin ‘offer service’ dan boleh melaksanakan tugas untuk menaikkan imej UMNO.

“Kalau nak kata parti kita ini parti keramat dan baik maka jangan rosakkan. Jangan kerana duit kita tersalah pilih dan yang rosak adalah parti ini. Masyarakat cukup sayang pada UMNO dan sebab itu jangan tersalah pilih,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau ditemui selepas menyerahkan borang untuk menawarkan diri sebagai Timbalan Pengerusi Tetap, di aras 4, Ibu Pejabat UMNO di sini, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama Othman merasa yakin dengan kemampuan dirinya dan dapat membantu Pengerusi Tetap UMNO.

“Saya yakin boleh melaksanakan dengan kemampuan, berkhidmat dan kebolehan serta dapat membantu Pengerusi Tetap. Ini adalah jawatan yang sesuai dan juga hasrat rakan-rakan dari UMNO itu sendiri,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.