Pemilihan 2023: Pelbagai Peringkat Pimpinan Tawar Diri Beri Kelebihan Kepada UMNO – Faiz

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Exco Pemuda UMNO Malaysia Mohd Faiz Hashim melihat gabungan kepelbagaian peringkat kepimpinan di dalam parti amat penting sebagai usaha memastikan UMNO hari ini bukan sahaja dapat mengorak langkah ke depan dengan sebaiknya malah mampu untuk bersaing dengan parti-parti politik yang lain.

Sehubungan itu beliau yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, usaha tersebut perlu direalisasikan sebaik mungkin dan peluang yang terbuka hari ini menerusi Pemilihan UMNO 2023 adalah gelanggang yang tepat dan sekaligus membuka ruang kepada pimpinan muda untuk menawarkan diri masing-masing.

“Alhamdulillah saya Mohd Faiz Hashim daripada UMNO Indera Mahkota menghantar borang untuk bertanding MKT UMNO. Penawaran ini adalah untuk memastikan peremajaan di dalam UMNO itu sendiri berlaku.

“Keduanya kita ingin membuat pembaharuan dalam peringkat tertinggi UMNO dan ketiganya adalah untuk saya membantu parti sebaiknya… saya ini nak kata muda tidaklah muda sangat dan nak kata berusia pun tidak juga… berumur 42 tahun.

“Saya mempunyai misi dan agenda untuk memastikan UMNO Malaysia ‘didigitalkan’. Hari ini kalau kita lihat UMNO masih mengamalkan politik cara lama… maksudnya kita masih ada JR, Gerak Gempur… PACABA sedangkan pihak lawan semua benda-benda tersebut tidak ada… tetapi mereka boleh menang besar pada PRU lalu… penggunaan media sosial serta ‘database’  yang tepat mengenai sasaran,” katanya kepada UMNO.

Beliau ditemui selepas menyerahkan borang untuk menawarkan diri sebagai MKT UMNO, di aras 4, Ibu Pejabat UMNO di sini, baru-baru ini.

Beliau seterusnya menambah dengan penambahan pengundi muda saban tahun sudah pasti UMNO memerlukan penyesuaian untuk bersaing dalam arena politik masa kini.

“Hari ini lebih 50 peratus adalah terdiri kalangan pengundi muda… Kita perlu memahami kehendak serta naluri orang muda dan seiring dengan perkembangan berkenaan, hari ini saya menawarkan diri untuk berkhidmat dan berbakti atas keupayaan serta pengalaman sebelum ini.

“Kepakaran yang ada saya hendak sumbangkan untuk UMNO dan saya berdoa agar seluruh perwakilan dan ahli UMNO di seluruh negara memberi peluang kepada saya untuk memberi khidmat bakti yang terbaik kepada UMNO,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.