UMNO Sebati Politik Khidmat Bakti, Wanita Realitikan Bersama Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Wanita UMNO Malaysia meneruskan politik khidmat bakti kepada rakyat khususnya golongan yang tidak bernasib baik melibatkan musibah banjir melanda Pahang baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta beberapa kepimpinan Wanita meluangkan masa berkunjung ke Paya Besar bagi memberikan bantuan kepada mangsa yang berhadapan dengan bencana alam tersebut.

“Seusai tugasan di Parlimen pagi semalam, saya bersama pasukan Skuad Sayang 3K Kebangsaan bertolak ke Pahang untuk Misi Pasca Banjir Negeri Pahang.

“Seperti mana di Parlimen saya, Parlimen Paya Besar dan Kuantan juga berhadapan dengan bencana banjir. Kami ke Paya Besar dan Kuantan bagi menyampaikan bantuan buat mangsa-mangsa banjir di sana.

“Terima kasih dan tahniah buat Wanita UMNO Negeri Pahang, pasukan Skuad Sayang 3K Kebangsaan dan Skuad Sayang Negeri Pahang. Tahniah Datuk Siti Hajar Mubin serta Exco Wanita, Hisham Suhaily,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Noraini menerusi hantaran berbeza turut berkongsi kehadiran beliau dalam perasmian Majlis Graduasi Tadika Sri Wawasan Koputeri di Wisma Koperasi Koputeri Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

Beliau turut meluahkan penghargaaan kepada KoPuteri yang berjaya mengendalikan tadika ini serta menjadi salah satu Koperasi Wanita yang berjaya dan terbaik di Malaysia.

“Pendidikan awal kanak-kanak sangat penting terutamanya di dalam mereka membina keyakinan diri dan mengembangkan skil komunikasi sesama rakan seusia mereka. Seronok saya melihat gelagat-gelagat mereka ketika membuat persembahan pentas,” ujar beliau.

Terdahulu, Ahli Parlimen Parit Sulong turut berkongsi kedukaan beliau bersama seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nazmi yang kehilangan bapa tersayang dalam kemalangan di Parit Damak.

Beliau dalam masa sama berharap Nazmi dan ibunya bertabah dengan ujian yang melanda malah berjanji untuk membantu bagi mengurangkan beban keluarga tersebut.

“Saya kenal keluarga ini masa saya menyerahkan tab sebagai hadiah kepada anak beliau yang mendapat keputusan 9A kat sekolah tahun 2000. Nazmi adalah salah seorang dari 14 pelajar yang saya jadikan anak angkat saya. Nazmi sekarang berada di UPSI. Anak yang cekal, sabar dan sangat berhemah.

“Saya singgah dan disambut oleh Nazmi dan bertemu dengan mak Nazmi. Mak Nazmi menangis hiba mungkin mengenangkan keadaan keluarga yang kehilangan tempat bergantung. Nazmi ada tiga org adik lagi dan seorang tengah menduduki peperiksaan SPM.

“Walau apapun keadaan, kami akan sentiasa membantu. Saya cukup percaya yang Nazmi mampu bertahan dengan dugaan Allah ini. Bersabar lah kerana Allah tahu terbaik untuk hamba-Nya. Takziah buat Nazmi sekeluarga. Semoga roh ayahnya tenang dan ditempatkan bersama mereka yang beriman,” luah beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.