UMNO Perlukan Pendekatan Baharu Dekati Anak Muda, Depani Politik Dinamik – Dr Masliha

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun berpandangan pendekatan baharu perlu dilaksanakan dalam mendekati generasi muda.

Katanya ini penting untuk dilakukan dalam berhadapan dengan pilihan raya akan datang.

“Kita tahu UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU15) kalah tetapi alhamdulillah diberi peluang untuk duduk di dalam Kerajaan Perpaduan namun kita kena ada strategi baharu untuk anak-anak muda.

“… kerana sekarang bukan politik khidmat bakti seperti dahulu, kini adalah politik dinamik, kita kena guna pendekatan baharu untuk tarik sokongan anak muda,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Dalam pada itu Dr Masliha yang menawarkan diri sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia pada Pemilihan 2023 berkata, beliau menyampaikan aspirasi REVU iaitu rejuvenation (rejuvinasi), empowerment (pemerkasaan), voice (suara) dan unity (perpaduan) dalam memperkasakan sayap parti ini.

“Itu adalah misi saya dalam masa terdekat dan juga kepada anak muda generasi alaf baharu ini melalui pendekatan bersama golongan ini.

“Jadi di dalam itu beberapa strategi yang kita gunakan baru untuk berhubung dengan anak-anak muda ini, jadi dalam REVU kita perkasa di samping mendekati golongan ini,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Dr Masliha menyifatkan pergerakan itu menyerlah dan lebih ke depan terutama selepas kekalahan UMNO/BN pada PRU14.

Katanya ini kerana perjuangan yang dibawa mereka selama ini adalah berlandaskan kesetiaan, semangat dan hati yang tulus.

Beliau malah merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan dalam Puteri yang berterusan dalam membawa perjuangan tersebut terutama ketika UMNO/BN menjadi pembangkang.

“Mereka adalah insan yg hebat… hanya Tuhan mampu membalas jasa mereka semua,” ujar beliau.

Pada masa sama Dr Masliha berpandangan Puteri UMNO perlu lebih diperkasakan dan diberi lebih ruang dalam organisasi seperti jawatan-jawatan lantikan seperti Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan diberi lebih kuota dalam jawatan-jawatan serta agensi.

“Saya akan perjuangkan perkara ini. Ramai kita lihat dikalangan Puteri ini layak dan berkebolehan.

“Malah saya juga akan perjuangkan kuota transisi bagi Puteri yang dah habis umur iaitu 35 hingga 45 tahun agar ditempatkan atau diberi ruang dalam organisasi untuk terus berkhidmat. Kita kene fikirkan juga bagaimana caranya.

“Sama ada di peringkat bahagian, negeri mahupun di Pusat, amatlah rugi bagi kita untuk mensia-siakan bakat Puteri yang berkebolehan dan sentiasa bersemangat untuk masih berkhidmat kepada parti. Itu salah satu harapan saya untuk Puteri di masa hadapan,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.