Pengapungan Saham Petronas, Hasmuni Cadang Lihat Dari Pelbagai Sudut

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Cadangan agar saham Petronas diapungkan 10-20 peratus untuk menjana hasil mahsul tambahan kepada kantung Kerajaan Persekutuan dilihat boleh diperdebatkan serta diperhalusi oleh pelbagai pihak.

Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hasan berkata lontaran Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengenai perkara berkenaan boleh dilihat pelbagai sudut kerana ia memberi impak besar kepada perancangan fiskal kerajaan.

“Mengambil cadangan pengapungan Saudi Aramco, syarikat minyak milik Arab Saudi yang mengegarkan komuniti pelaburan global sebelum ini, YB (Yang Berhormat) Wong Chen dengan berani menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan boleh meraih sekurang-kurangnya RM300 billion.

“Melalui gerakan korporat ini, dana RM300 billion yang dijana boleh digunakan untuk mengurangkan ‘stress’ kedudukan fiskal negara yang bergelut dengan cabaran kekurangan hasil, peningkatan perbelanjaan dan hutang negara mencecah lebih RM1 trilion.

“Saya tidak terus menyokong dan menolak bulat-bulat. Seharusnya kita sebagai anak muda terbuka dan sama-sama menilai cadangan ini untuk mencapai kesepakatan. Kita tidak mahu lagi keadaan di mana dasar fiskal negara dipolitikkan secara melampau sehinggakan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dimansuhkan sekaligus menghasilkan lompong fiskal mencecah RM40 billion setahun dan merencatkan pembangunan negara,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi setiap cadangan yang dibangkitkan mempunyai merit tersendiri malah wujud pro dan kontranya.

“Yang penting ia harus diperhalusi sebaiknya. Macam kita cakap ‘kita membangkang bukan semata-mata membangkang’. Samalah kita menyokong bukan semata-mata menyokong. Tuntas, kedudukan fiskal negara sememangnya memerlukan perhatian semua pihak.

“Isu mengenai hutang negara yang mencecah RM1 trilion, kos bayaran faedah hutang yang meningkat, tiada cukai baru yang boleh diperkenalkan dan peningkatan perbelanjaan negara setiap tahun. Dengan perdebatan nasional dan ramai pihak, barulah ia diperhalusi dan diberi pertimbangan sama ada bersesuaian atau tidak di dalam menyelesaikan cabaran fiskal negara,” tambahnya.

Kata beliau lagi, apa pun komen dan maklum balas ramai termasuklah kerajaan, yang harus dititikberatkan adalah governans, integriti, akauntabiliti dan empati terhadap keadaan rakyat teramai.

“Walaupun Petronas kini secara sukarela (voluntary) telah melaksanakan pelaporan tahunan mengikut amalan terbaik, mungkin melalui pengapungan saham Petronas, mungkin tahap transparensi keputusan penting seperti pelaburan baru, dasar dividen dan kelestarian dapat ditingkatkan dan diyakini semua pihak.

“Malahan pengenalan pemegang saham baru yang signifikan pegangannya akan mengurangkan kebarangkalian Petronas disalahguna untuk tujuan politik serta dilihat sebagai tabung hasil mahsul Kerajaan semata-mata,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.