Pemilihan UMNO Dapat Sambutan, 57 Calon Telah Mendaftar Setakat Hari Ini – Shahrir Samad
KUALA LUMPUR, 16 Feb – Proses pemilihan UMNO sepanjang tiga hari yang bermula pada 13 Februari mendapat sambutan dari kalangan ahli-ahli UMNO.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Tan Sri Shahrir Samad berkata, terdapat seramai 57 calon yang telah mendaftar bagi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.
“Seramai 57 calon sudah pun mendaftar untuk bertanding bagi 12 jawatan daripada 19 jumlah jawatan yang ada dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.
“Bagi MKT seramai 18 calon sudah pun mendaftar diri untuk bertanding bagi empat jawatan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan juga jawatan-jawatan seramai 25 jawatan dalam MKT.
“14 calon sudah berdaftar bagi Wanita UMNO, Pemuda seramai 19 jawatan dan Puteri UMNO enam calon sudah mendaftar dan kesemuanya menjadi 39 calon bagi peringkat sayap dan jumlah kesemuanya ialah seramai 57 calon,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, hari ini.
Turut hadir Setiausaha JPU Datuk Mustapha Yaakub dan Peguam UMNO, Amin Othman.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru menjelaskan jawatan yang dipertandingkan dalam MKT dan sayap-sayap UMNO akan bertambah saban hari.
“Buat masa ini jawatan di peringkat MKT iaitu satu calon bagi Pengerusi Tetap, tiga calon bagi Timbalan Pengerusi tetap dan 14 calon bagi 25 jawatan di peringkat MKT. Bagi Wanita pula satu calon Timbalan Pengerusi Tetap, satu calon untuk Naib Ketua dan 12 calon untuk mengisi 20 jawatan Exco Wanita UMNO.
“Bagi Pemuda iaitu satu calon bagi Pengerusi tetap, satu calon bagi Ketua Pemuda dan 17 calon bagi mengisi 20 jawatan diperingkat exco Pemuda.
“Pergerakan Puteri terdapat satu calon bagi Timbalan Pengerusi Tetap, tiga calon bagi jawatan Ketua Pergerakan Puteri dan dua calon bagi mengisi 20 jawatan dalam exco pergerakan puteri,” katanya lagi.
Untuk rekod, borang pendaftaran calon bagi Pemilihan UMNO 2023 boleh didapati di laman sesawang www.umno-online.my (klik di sini untuk muat turun borang).
Bagi calon-calon di peringkat bahagian boleh mengemukakan kembali borang yang telah lengkap ke bahagian masing-masing manakala calon bagi peringkat pusat perlu menghantar borang tersebut ke Auditorium Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn.
Borang tersebut boleh dihantar ke tempat yang dimaksudkan bermula 13 Februari manakala tarikh terakhir untuk menyerahkannya adalah pada 26 Februari. – UMNO Online