Pemilihan UMNO 2023: Parti Perlukan Pemimpin Proaktif, Hadapi Cabaran Politik Semasa
KUALA LUMPUR, 16 Feb – UMNO memerlukan barisan kepimpinan yang proaktif dan dinamik lebih-lebih lagi apabila berhadapan situasi politik mencabar pada masa ini.
Pengarah Komunikasi Strategik NGO Pemuda UMNO, Mohd Nazrin Faiz Che Abdul Aziz berkata, situasi tersebut merupakan satu cabaran terutamanya kepada ahli yang mahu menawarkan diri sempena Pemilihan UMNO kali ini.
“Melihat kepada keadaan semasa, menjadi satu cabaran besar kepada semua yang menawarkan diri untuk berada dalam saf kepimpinan UMNO dalam apa jua peringkat.
“Saya yakin semua perwakilan mahukan kepimpinan yang heavy weight terutamanya untuk memastikan parti sentiasa relevan di mata rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd Nazrin Faiz mengumumkan bahawa beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada musim pemilihan kali ini.
“Setelah berbincang dengan sahabat-sahabat seperjuangan, saya dengan rendah diri menawarkan diri untuk bertanding Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
“Dengan mengambil semangat perjuangan guru guru dahulu yang mekar dalam perjuangan UMNO, saya mampu menyumbang idea dan kreativiti untuk Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
“Allahyarham Datuk Seri Razali Ismail, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Tapa, Tun Ghafar Baba dan banyak lagi tokoh asalnya guru telah membawa banyak impak bukan sahaja kepada UMNO,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau dengan merendah diri memohon sokongan para perwakilan memberikan peluang untuk berkhidmat sebaik mungkin dalam kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO.
“Saya dengan rendah diri memohon sokongan kepada semua perwakilan pemuda untuk memberi ruang kepada saya untuk berkhidmat sebaik mungkin dan membawa variasi dalam kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia.
“Saya yakin semua perwakilan mahukan solid team terutama untuk memastikan Pemuda UMNO lebih proaktif dan dinamik,” katanya lagi.
Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.
Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.
Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman