Disiplin Tunjang Kekuatan UMNO Dan Perlu Dipatuhi Semua Ahli – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Disiplin dan tataetika parti merupakan tunjang kekuatan UMNO dan perlu dipatuhi oleh semua ahli.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, meskipun usaha pembersihan parti yang dilakukan sedikit sebanyak memberi kesan, ianya perlu dilaksanakan supaya UMNO boleh terus bergerak ke hadapan.

“Tentulah segala usaha pembersihan UMNO itu mempunyai kesan yang tertentu. Tetapi, saya lihat segala cetusan dalam media sosial sudah mula reda. Kita ingin move forward dan bergerak ke hadapan.

“Kita ingin supaya segala keputusan itu lambat-laun akan difahami oleh pihak yang berkaitan. Sebenarnya, parti lain pun melakukan perkara yang sama. Jadi, saya kira disiplin parti ini bukan hanya diikuti oleh UMNO, tetapi parti-parti lain juga.

“Cuma, UMNO ini sebuah parti yang menjadi fokus ramai pihak makanya kita sering menjadi tumpuan,” katanya menerusi wawancara secara langsung di Facebook BNComms.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan itu turut memperjelaskan situasi sebenar apabila proses pembersihan itu berlaku.

“Presiden tentunya ada berunding dengan Pengerusi Lembaga Disiplin dan saya ingin mengesahkan bahawa perkara itu wujud. Seterusnya, satu lagi perkara yang saya ingin maklumkan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mempunyai hak untuk membuat keputusan sebagaimana yang telah dilakukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ia tidak diproses dalam jawatankuasa disiplin kes-kes sebelum ini. Walau bagaimanapun untuk kes baru-baru ini Presiden memang ada berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dan mendapatkan pandangan.

“Sebagai contoh, kita tahu ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 selama dua minggu itu adalah masa yang cukup penting kepada parti. Tetapi, jika ada pihak yang memburukkan parti ketika berkempen dan kemudian dilapor dalam surat khabar, besar pula laporan-laporannya, bukan sekali dan banyak kali masuk dalam pelbagai media elektronik kemudian pelbagai media sosial, bukankah penuh segala bukti?” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad turut mendedahkan bahawa semua ahli parlimen yang mahu bertanding perlu menandatangani dokumen persetujuan sebelum menawarkan diri.

“Satu lagi ialah sebelum menjadi calon, semua ahli parlimen hendaklah menandatangani dokumen dan dokumen itu antara lain menyebut bahawa kerusi yang dimenangi bukan milik individu tetapi adalah milik parti.

“Dalam dokumen tersebut menyatakan bahawa Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipertanggungjawabkan untuk mengepalai perundingan bagi membentuk kerajaan selepas PRU ke-15. Kita semua tandatangan.

“Apabila perkara itu ditandatangani kemudian ada pula orang lain yang menjadikan dirinya untuk menjadi ketua perundingan bagi menubuhkan kerajaan sudah tentulah dia melanggar disiplin parti. Jadi, saya tidak perlu menyebut nama siapa. Semua fahamlah apa yang saya maksudkan ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.