Dakwaan Sinis UMNO Menuju Ke Arah Kegelapan Tersasar, Ramai Ingin Tawar Diri Bertanding

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Pelbagai tanggapan dan dakwaan sinis kononnya UMNO menuju ke arah kegelapan dan sebagainya terjawab apabila pemimpin pelbagai peringkat tampil untuk menawarkan diri masing-masing bertanding apabila proses pendaftaran calon pemilihan UMNO dibuka Isnin lalu untuk jawatan tertinggi parti.

Proses pendaftaran bagi jawatan Exco Wanita, sayap Pemuda dan Puteri serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selain Naib Presiden yang dijalankan di Auditorium Aras 4, Ibu Pejabat UMNO terus menerima pencalonan dari mereka yang berhasrat menyumbang tenaga demi perjuangan orang-orang Melayu dan seluruh rakyat.

Datuk Seri Dr Abdul Fattah  Abdullah yang sebelum ini antara pejuang di dalam Pemuda UMNO menegaskan segala dakwaan dan pelbagai tohmahan yang dilontarkan terhadap UMNO bukan sahaja tersasar malah tidak tepat sama sekali.”

Ini kerana katanya masing-masing di pelbagai peringkat masih lagi mahu menawarkan diri untuk menyumbang tenaga dan keringat dalam usaha memperkukuhkan lagi perjuangan UMNO untuk mendepani segala cabaran dan meningkatkan lagi pencapaian parti khususnya sebagai tempat bergantung rakyat.

“Macam-macam yang kita dengar sebelum ini… UMNO menghadapi zaman kelamlah… UMNO tidak lagi menjadi tempat bergantung rakyatlah namun segala-galanya terjawab apabila saya lihat ramai yang ingin menawarkan diri dengan bertanding pelbagai jawatan tertentu.

“Malah tanggapan sebelum ini kononnya UMNO sudah hampir mati tidak betul dan ini membuktikan UMNO masih relevan dan masih terus berkembang. Ramai yang masih berminat dan ini secara langsung menafikan dakwaan sinis termasuklah parti tidak ada masa depan dan sebagainya lagi,” katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Abdul Fattah seterusnya menambah buat permulaan mungkin masih ada yang belum membuat sebarang keputusan untuk menawarkan diri jawatan yang ingin ditandingi, namun percayalah suasana akan terus meriah menjelang saat-saat akhir tarikh pendaftaran ditutup nanti.

“Saya difahamkan ramai lagi yang akan mendaftar untuk menawarkan diri masing-masing bagi apa-apa jua jawatan dan sudah tentulah ianya akan memperkukuhkan lagi struktur kepimpinan parti serta meningkatkan lagi keyakinan rakyat yang akan membuat pilihan pada pilihan raya nanti, baik pilihan raya negeri mahu pilihan raya umum akan datang.

“Apa pun saya percaya, dengan suasana serta perkembangan menarik ini, maka ia akan terus memberi keyakinan rakyat dan orang ramai terhadap kebolehan dan kemampuan UMNO itu sendiri untuk menjadi payung kepada mereka dan juga kepada negara.

“Apa pun, bagi saya insya-Allah… saya boleh menggunakan pengalaman yang ada sebelum ini untuk bersama-sama kepimpinan parti dalam usaha mengukuhkan lagi UMNO dengan masing-masing memainkan peranan tersendiri agar perjuangan parti terus relevan dan sentiasa mendapat kepercayaan seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.