Ahmad Zahid Pantau Pemberian Wang Ihsan Sampai Kepada Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan memantau pemberian wang ihsan supaya ia sampai tepat pada masanya kepada mangsa-mangsa terjejas banjir.

“Janji kita, sebelum mereka (mangsa banjir di pusat pemindahan sementara) pulang ke rumah masing-masing, mereka harus dapat dahulu (wang ihsan),” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai status pemasangan pam di kawasan Parlimen Rantau Panjang bagi menyelesaikan masalah banjir dan status pemberian wang ihsan kepada mangsa banjir yang masih belum diterima mereka.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata koordinasi telah dilakukan dengan pihak jawatankuasa bencana peringkat daerah.

“Mungkin mereka belum dapat lagi (peruntukan), kita akan pantau. Arahan ini telah kita lakukan kerana kita telah kenal pasti keluarga mana, kawasan mana yang dijangka banjir ataupun selalu banjir, maka peruntukan itu telah ‘diletakkan’ di tempat-tempat berkenaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan bantuan sebanyak RM68 juta, masing-masing kepada Kelantan dan Terengganu.

Menjawab mengenai pemasangan pam berkuasa tinggi yang telah diluluskan peruntukannya bagi mengatasi banjir termenung di Kelantan, Ahmad Zahid berkata ia dalam proses pembelian oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Dalam pada itu, menjawab soalan asal Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai koordinasi kerajaan bagi memastikan tiada mangsa yang ketinggalan daripada mendapat bantuan bencana banjir, Ahmad Zahid berkata kerajaan tidak lagi boleh bekerja secara silo untuk menghadapi situasi banjir.

Beliau berkata kerajaan melalui NADMA sentiasa memastikan bantuan kepada mangsa banjir diberikan seawal mungkin tanpa mengira pentadbiran kerajaan negeri.

“Tetapi prasangka sering dilemparkan kepada NADMA dalam soal bantuan banjir, ketepikan soal warna politik yang berbeza, demi rakyat, demi kawasan luar bandar yang sering terkesan akibat banjir,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata pihaknya telah mengenal pasti sekolah di kawasan terlibat banjir bagi pembinaan dewan kekal untuk digunakan sebagai pusat pemindahan sementara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.