UMNO Tidak Ketepikan Demokrasi, Fadwah Tekad Angkat Puteri Lebih Tinggi

 

KUALA LUMPUR, 15 – UMNO tidak pernah mengenepikan isu demokrasi sebaliknya memberi ruang dan peluang seluas-luasnya kepada semua anggota parti yang ingin bertanding dan merebut tidak kira apa jua jawatan sama ada peringkat cawangan, bahagian mahupun Pusat, kata Exco Pergerakan Puteri UMNO, Fadwah Anuwar.

Beliau berkata atas semangat menjunjung amalan demokrasi yang dipelopori oleh UMNO, adalah wajar elemen ini diuruskan dengan baik oleh parti.

“Saya percaya dengan demokrasi yang dibawa oleh UMNO saban kali pemilihan, ini menunjukkan bahawa parti ini inginkan sesuatu yang baharu. Ramai kalangan ahli-ahli yang bertanding ini mempunyai misi dan visi yang berbeza tetapi matlamatnya tetap sama bagi memastikan UMNO terus kekal relevan dalam arus politik tanah air.

“Dinamik politik hari ini menuntut untuk bersedia dengan segala kemungkinan, maka jangkaan pemilihan kali ini dengan barisan kepimpinan baharu akan mampu untuk terus bertahan mendepani cara dan corak politik moden,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Puteri UMNO Malaysia memaklumkan bahawa matlamat utamanya adalah ingin membawa Puteri UMNO ke tahap yang lebih tinggi dan di segani.

“Saya ingin membawa Puteri UMNO ke satu langkah yang lebih tinggi walaupun ramai yang ingin bertanding tetapi semuanya mempunyai matlamat dan visi yang sama.

“Dalam politik arus moden ini Puteri UMNO harus bergerak mengikut perubahan masa tidak kira dari sudut trend media sosial, penyampaian dan sebagainya.

“Puteri UMNO harus dilihat moden, versatile dan dalam masa yang sama menyemai etika parti, maka itu menjadi kekuatan dan keutuhan parti,” katanya lagi.

Proses pendaftaran calon bagi Pemilihan UMNO 2023 telah bermula pada 13 sehingga 26 Februari 2023 di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.

Pada 11 Mac perwakilan akan memilih jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO bahagian bersama pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Pusat.

Seterusnya pada 18 Mac juga perwakilan akan memilih jawatankuasa UMNO bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.