UMNO Bersikap Terbuka, Pemilihan 2023 Bukti Tiada Monopoli – Johan

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Johan Abdul Aziz berpandangan Pemilihan 2023 membuktikan bahawa parti keramat ini terbuka dalam pertandingan jawatan dalam parti.

Katanya, perkara itu disambut baik oleh akar umbi bagi memastikan hala tuju sebenar dapat dicapai sekaligus berterusan mendukung asas perjuangan parti keramat ini.

“UMNO mengamalkan demokrasi ini yang saya lihat disambut baik oleh akar umbi.

“Selain daripada subur demokrasi itu hari ini kita dapat lihat UMNO terbuka dengan cara yang cukup memadai menjadi ahli selama tiga tahun dan pernah duduk sebagai jawatankuasa bahagian boleh bertanding di peringkat MKT.

“Jadi amat mudah dan akar umbi merasakan bahawa UMNO ini tidak dicengkam dan tidak dimonopoli kerana sesiapa sahaja boleh bertanding asalkan syarat itu dipenuhi,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau yang akan turut mempertahankan jawatan sebagai MKT juga meluahkan kesyukuran dengan komitmen daripada kepimpinan dan ahli parti yang bertanggungjawab dalam menawarkan diri melalui Pemilihan 2023 ini.

“Saya mengisi borang untuk bertanding MKT dan apa yang kita dapat lihat perjalanan di peringkat akar umbi mahupun cawangan pada minggu kedua ini cukup rancak dengan tanggungjawab yang dilaksanakan begitu baik dan memuaskan ini membuktikan UMNO ini terus subur.

“… yang sebenarnya kita takutkan, bayangkan segala jawatan yang telah dipertandingkan tiada orang hendak bertanding.

“Jadi kalau ramai yang hendak bertanding itu alhamdulillah seperti kita laungkan dalam konsep demokrasi itu sendiri,” ujar beliau.

Terdahulu pendaftaran bagi proses Pemilihan UMNO 2023 telah dibuka bermula 12 sehingga 26 Februari 2023 di Auditorium Menara Dato’ Onn bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.

Sementara itu bagi pemilihan jawatan di peringkat bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri bahagian, pendaftaran juga telah dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO Negeri. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.