Semangat Keluarga Besar UMNO Malaysia Terus Dipelihara, Kekal Bawa Perjuangan Keramat – Azeez

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berharap semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli parti terus terpelihara seperti kelaziman terutama ketika mendepani Pemilihan 2023.

Beliau berkata semangat keluarga UMNO penting untuk dipelihara di samping patuh kepada panduan serta tata etika sebagai ahli parti seperti ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) khususnya untuk calon baharu.

“Kita kekalkan kemakmuran, kekeluargaan dan patuh kepada arahan yang telah digariskan oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad kerana sememangnya kali ini jauh berbeza daripada dahulu.

“Saya harap semangat kekeluargaan dalam UMNO dapat dikekalkan jadi saya mohon kepada anak-anak muda yang baru hendak bertanding sebagai Exco Wanita, Pemuda, Puteri malah MKT saya difahamkan ramai anak-anak muda yang hendak bertanding untuk patuh.

“Saya pernah bertanding sejak 2004 daripada Exco Pemuda pada 2008, MKT sampai ke hari ini kita sentiasa berada dalam kelompok keluarga besar UMNO Malaysia, saya dengan rakan-rakan 10 orang sekali pergi berkempen lepas itu jatuh dua, hanya lapan sahaja yang menang tapi silaturahim kita tidak putus sampai ke hari ini

“Malah saya percaya kalau kita dapat memperkasakan ukhuwah dalam keluarga ini barulah boleh jadi pemimpin,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez yang akan mempertahankan jawatan MKT dan Ketua UMNO Bahagian Baling turut meluahkan harapan untuk beliau sekali lagi diberikan kepercayaan oleh ahli akar umbi parti pada Pemilihan 2023 ini.

Katanya ini kerana, beliau yang juga sebagai Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia sedang merangka untuk menjalankan misi kemanusiaan ke Syria yang turut terkesan dengan bencana gempa bumi di Turkiye.

“Saya telah melakukan penyerahan borang untuk mempertahankan MKT sejak 2008 yang mana saya adalah Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia.

“Begitu juga saya dalam kerangka perbincangan untuk ke Syria bagi misi bantuan, pusingan pertama sudah ada rakan-rakan yang pergi manakala Biro Kebajikan UMNO Malaysia sedang merangka bagaimana bantuan kita itu akan sampai itu yang saya lakukan atas nama UMNO Malaysia,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu turut mengulas berkenaan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang pada hematnya membawa manifestasi tersendiri kepada parti keramat ini untuk terus bangkit.

Jelas beliau meskipun pelbagai cabaran dilalui namun nilai perjuangan perlu kekal disemat dalam kalangan ahli kerana ianya merupakan simbolik kepada kepada asas penubuhan parti keramat ini dalam membela nasib rakyat.

“UMNO tidak menang tidak mengapa, ini ujian Allah kita kuatkan balik semangat, kerja dan buktikan kepada rakyat yang kehadiran kita ini konsisten bukannya bermusim kerana akhir sekali benda tak original ini tak kekal.

“Saya pun terkejut kalah besar di Baling tidak pernah sangka sebanyak itu tapi itulah hakikatnya namun kena bangkit dan bina semula parti keramat ini.

“Apa pun orang hendak cakap siapa pun nak masuk atau keluar parti, hendak cerca caci kena ingat parti keramat UMNO ini dilahirkan di Istana Johor… bukan ditubuhkan kerana sakit jiwa, marah, bergaduh atau ada puak-puak.

“… kerana parti ini dilahirkan untuk membina negara Malaysia bukan sahaja Melayu bahkan semua etnik, latar belakang, kaum dan agama, UMNO telah berbudi lebih 70 tahun berjasa kepada rakyat keseluruhan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.