Demokrasi Dalam UMNO Subur, Ramai Tawar Diri Dalam Pemilihan Kali Ini

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Demokrasi dalam UMNO dilihat subur kerana ramai mengumumkan dan menawarkan diri mereka untuk bertanding semasa musim Pemilihan UMNO kali ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini yang menetapkan agar dua jawatan tertinggi parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan juga adalah satu demokrasi.

“Kita lihat dalam perhimpunan yang cukup besar lalu, UMNO mempunyai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan akhirnya pada PAU kita melihat hasrat ahli dan para perwakilan inginkan agar dua jawatan tersebut tidak dipertandingkan.

“Para perwakilan memberikan sokongan penuh agar dua jawatan ini tidak dipertandingkan, disaksikan oleh dewan yang bersejarah itu,” kata Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, Mohd Hairi turut berharap agar para calon yang menawarkan diri untuk jawatan tertentu bersaing secara sihat sepanjang tempoh pemilihan ini.

“Saya rasa itu adalah suara rakyat dan apabila jawatan-jawatan lain dibuka, kita lihat daripada Naib Presiden sehinggalah ke Ketua Pemuda dan sayap-sayap, masih ada ruang serta peluang kepada semua pemimpin akar umbi untuk menawarkan diri.

“Sekalipun saya bakal mempunyai pesaing untuk jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, saya akan memastikan agar pertandingan secara sihat berlangsung.

“Insya-Allah, kekuatan UMNO akan bertaut kembali selepas kekalahan atau kemenangan yang akan datang secara mutlak kelak,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor itu lagi.

Pada 14 Januari lalu UMNO Online melaporkan majoriti perwakilan UMNO yang hadir pada PAU 2022 menyatakan sokongan terhadap usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata menerusi undian yang dijalankan pada 4.52 petang itu mendapati majoriti perwakilan bangun dan mengangkat tangan menyokong usul tersebut. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.