Ramasamy Usah Jadi Liabiliti Kerajaan Perpaduan – Shaiful Hazizy

ALOR SETAR, 14 Feb – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy diminta untuk bersikap adil, bertanggungjawab dan menghormati konsep kerjasama politik demi memelihara status solidariti Kerajaan Perpaduan yang terbina.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, beliau sepatutnya menggunakan hak kebebasan memberikan cadangan kepada pemimpin negara secara rasional bagi memanfaatkan masyarakat dan menjaga keharmonian masyarakat majmuk.

“Merujuk kepada kenyataan peribadi beliau yang menuduh dominasi Melayu dalam perkhidmatan awam baru-baru ini, ingin ditegaskan bahawa tuduhan itu adalah tidak benar dan hanya berteraskan persepsi beliau semata-mata.

“Malah istilah ‘dominasi’ tidak sepatutnya digunakan Ramasamy untuk menyifatkan amalan pengambilan penjawat awam kerana sistem yang digunakan adalah berdasarkan kelayakan merit, dan bukan berdasarkan kaum, agama atau warna kulit,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, adalah sesuatu yang malang bagi Dap jika kepimpinannya terus mengeluarkan kenyataan tidak rasional, sedangkan terdapat banyak ruang lain bagi menyuarakan cadangan kepada kepimpinan negara yang kini bersikap lebih terbuka.

“Ramasamy sepatutnya menjadikan kelebihan Kerajaan Perpaduan untuk menyuarakan pandangan yang lebih baik bagi memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat, bukan memecah-belahkan.

“Justeru itu, saya meminta Ramasamy agar berlapang dada dan ayuh kita gunakan kelebihan Kerajaan Perpaduan ini untuk membina Malaysia Madani yang lebih dinamik,” katanya.

Sebelum ini, Ramasamy dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.

Kenyataan itu mengundang pelbagai kritikan, baik daripada parti kerajaan mahupun pembangkang dengan Anwar juga menegaskan bahawa kerajaannya sama sekali tidak akan mengikut saranan dibuat Ramasamy itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.