Pilih Pemimpin Yang Boleh Galas Tugas Dengan Sebaiknya – Hisham Suhaily

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Exco Wanita UMNO, Hisham Suhaily Othman berkata pemilihan barisan kepimpinan hendaklah dibarisi oleh mereka yang benar-benar boleh menggalas tugas serta membawa UMNO ke arah yang lebih baik dan segar.

Beliau juga berharap agar pemilihan UMNO ini akan berlaku situasi yang aman dan harmoni bagi memilih pemimpin sama ada di peringkat bahagian mahupun pusat.

“Kita mengalu-alukan pertandingan peringkat semua bahagian dan pusat serta mengharapkan pemilihan kali ini berlaku dengan suasana aman dan damai. Akar umbi boleh membuat pilihan yang tepat untuk memilih kepimpinan di peringkat bahagian dan Malaysia (pusat).

“Pemimpin-pemimpin yang akan datang ini dapat membuat satu pembaharuan dan evolusi kepada UMNO supaya ianya terus relevan.

“Dalam pemilihan ini pasti adanya pemimpin yang baharu atau yang dikekalkan ibarat ‘carik-carik bulu ayam’ dan memastikan kepimpinan yang dipilih nanti hendaklah barisan yang progresif dan pro aktif serta selaras dengan keadaan semasa,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Dalam masa yang sama beliau turut menawarkan diri sebagai Exco Wanita UMNO mengharapkan jentera parti dapat membantu enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Kelantan yang bakal hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Paling utama jentera UMNO dapat membantu dan memenangi enam negeri yang telibat pada PRN dalam usaha memastikan fokus dan strategi gerak kerja dapat disusun dengan baik.

“Untuk menang pada PRN ini jentera UMNO perlu bersatu dengan satu haluan walaupun pemilihan ini ada juga efeknya apabila adanya pemimpin yang baharu telah dipilih terutamanya bagi negeri-negeri yang bakal hadapinya,” katanya lagi.

Tarikh pendaftaran bagi calon-calon yang menawarkan diri untuk jawatankuasa bahagian dan pusat adalah bermula semalam dan ditutup pada 26 Februari 2023 jam 5 petang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.