Ketepi Segala Sentimen Penyebab Perpecahan, Bersatu Padu Perkuat Parti

SHAH ALAM, 14 Feb – Ahli UMNO diseru untuk mengenepikan sebarang sentimen yang boleh menyebab perpecahan dalaman dan bersatu padu dalam mengendalikannya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, pada ketika ini parti mempunyai peluang untuk meningkatkan lagi keupayaan dalam memperjuangkan isu-isu rakyat setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“UMNO pada ketika ini berpeluang untuk meningkatkan lagi keupayaannya bagi menjadi teraju utama dalam memperjuangkan isu-isu asas rakyat. Menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan membolehkan UMNO untuk terus memberikan khidmat dengan memastikan keluhan akar umbi dapat didengari di peringkat yang lebih tinggi.

“Oleh yang demikian, ahli UMNO diseru untuk mengenepikan sebarang sentimen yang boleh menyebabkan perpecahan lebih teruk di peringkat dalaman parti.

“Untuk menambat semula hati rakyat, UMNO harus kembali kepada fungsinya yang asal iaitu menjadi tempat mengadu bagi rakyat dan berupaya untuk menyelesaikan setiap permasalahan dihadapi mereka. Hal ini tidak akan dapat dicapai, sekiranya ahli-ahli UMNO sendiri tidak bersatu padu dalam mengendalikan hal-hal dalaman parti,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang merangkap Ketua UMNO Cawangan Shah Alam itu turut berpendapat bahawa kegagalan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu juga disebabkan oleh wujudnya pemimpin elitis dalam parti.

“Kegagalan UMNO/BN pada PRU ke-15 lepas bukan hanya kerana drama pergaduhan dalaman yang ‘ditayangkan’ kepada umum, tetapi juga disebabkan oleh wujudnya sifat elitis di kalangan pemimpin cawangan dan bahagian.

“Perkara ini bukan sahaja dirasai oleh rakyat Malaysia, tetapi juga dari kalangan ahli UMNO sendiri yang sudah muak dengan sifat ‘kayangan’ pemimpin UMNO di peringkat bahagian dan cawangan mereka sendiri,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Dendera turut berharap agar UMNO/BN menggunakan peluang yang ada untuk bermuhasabah dan menilai segala usaha pembaharuan bagi mengukuhkan semula parti.

“Sungguhpun tidak lagi mendapat majoriti kerusi di Parlimen, UMNO masih lagi diberikan peluang untuk berkhidmat dengan tertubuhnya kerajaan perpaduan Malaysia selepas PRU ke-15.

“Peluang kedua ini seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh semua pihak di dalam UMNO untuk bermuhasabah dan menilai langkah-langkah pembaharuan bagi memastikan UMNO tidak lagi kecundang pada masa akan datang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak pemimpin dan ahli parti untuk terus giat memperjuangkan isu rakyat dan memulakan langkah rékonsiliasi berlandaskan kepentingan rakyat.

“Kita perlu giat memperjuangkan isu rakyat dan pada masa sama turut memberikan tumpuan kepada kebajikan ahli UMNO (terutamanya bagi golongan B40) yang masih lagi setia dengan perjuangan parti ini.

“Atas semangat perpaduan dan iltizam bagi mengembalikan semula kekuatan parti, kita perlu memulakan langkah rekonsilisasi dengan niat yang ikhlas iaitu berlandaskan kepentingan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.