Permuafakatan Kerajaan Perpaduan Jamin Kestabilan Politik, Jana Pertumbuhan Ekonomi – Agong

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Permuafakatan yang tercapai dalam kalangan pimpinan parti Kerajaan Perpaduan membolehkan negara menjana pertumbuhan ekonomi yang menjamin kesejahteraan rakyat selain dapat mewujudkan kestabilan politik.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah ia selari dengan hasrat Seri Paduka untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

Seri Paduka yang menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, turut meminta semua pihak berlapang dada dengan hati terbuka untuk menerima serta menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Beta menghargai pengenalan inisiatif negara Madani yang merangkumi aspek-aspek kemampanan; kesejahteraan; daya cipta; hormat; keyakinan; ihsan dan rahmah.

“Besar harapan Beta agar prinsip-prinsip tersebut diterjemahkan dengan baik dalam kerangka untuk mencipta lonjakan buat negara,” titah Al-Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengalu-alukan usaha kerajaan membendung ketirisan dana awam termasuk inisiatif mempercepat mekanisme pemberian subsidi bersasar dalam usaha mendepani cabaran ekonomi global, ketidaktentuan ekonomi pasca COVID-19 serta tekanan inflasi yang meningkatkan kos sara hidup.

Seri Paduka juga menghargai komitmen serta tekad kerajaan untuk membanteras rasuah secara agresif dengan menumpukan kepada aspek perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar bagi membudayakan integriti dan memperkukuh tadbir urus negara.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah menyambut baik inisiatif untuk memperkukuh agenda pembangunan ummah berasaskan prinsip Maqasid Syariah dalam pentadbiran negara.

Ia merangkumi aspek pemerkasaan pengurusan hal ehwal Islam seperti pendidikan Islam, undang-undang Syariah, institusi kekeluargaan, pensijilan halal Malaysia dan pendidikan tahfiz al-Quran.

“Usaha ini penting bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai kekuatan kerohanian, intelektual dan sahsiah diri yang unggul,” titah Seri Paduka.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong berharap usaha menambah baik sistem perundangan negara bagi menjamin perlindungan rakyat termasuk kanak-kanak, wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU) terus dilaksana.

Seri Paduka bertitah ini termasuk inisiatif mewujudkan Pejabat Suruhanjaya Kanak-kanak yang bebas melalui penggubalan akta baharu bagi melindungi kanak-kanak khususnya daripada jenayah seksual secara fizikal dan dalam talian, selain memastikan penyertaan kaum wanita bagi merancakkan ekonomi negara.

Al-Sultan Abdullah turut mengalu-alukan usaha mengkaji semula Akta Orang Kurang Upaya 2008 bagi memelihara kesejahteraan golongan OKU.

Seri Paduka bertitah kerajaan juga perlu mengutamakan isu kesihatan seperti peningkatan beban penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta peningkatan populasi rakyat yang semakin menua.

“Beta mengalu-alukan usaha merangka strategi yang lebih objektif dan inklusif bagi memperkukuh kesiapsiagaan kesihatan awam dan menambah baik perkhidmatan kesihatan primer termasuk penyediaan kemudahan dan perkhidmatan lebih baik kepada warga tua,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdillah bertitah inisiatif bersifat membendung dan menggalakkan pengesanan awal penyakit perlu ditingkatkan menerusi skim peduli kesihatan termasuk penekanan terhadap aspek kesihatan mental. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.