Pemilihan UMNO Bukti Demokrasi Subur, Dilaksana Demi Penyatuan Ahli – Sharifah Azizah

KLUANG, 13 Feb – Persidangan peringkat Cawangan UMNO yang dilaksana serentak dengan pemilihan Cawangan telah pun bermula sejak 1 Februari lalu sementara bagi pemilihan di peringkat Bahagian dan Pusat, proses pendaftaran calon bagi Pemilihan UMNO 2023 telah bermula hari ini sehingga 26 Februari 2023.

Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain menekankan bahawa pemilihan yang dilakukan ini membuktikan amalan demokrasi tetap segar di dalam UMNO khususnya di peringkat akar umbi.

Namun jelasnya, demi perpaduan dalam UMNO yang dituntut sekarang ini, pemilihan di peringkat tertentu boleh dielakkan.

“Demi perpaduan, demokrasi hanya perlu dilaksanakan sekiranya ada kepimpinan misalnya dalam bahagian yang wujud sekarang ini gagal melaksanakan khidmat dengan sepenuhnya apatah lagi ketika parti amat memerlukan.

“Semua tahu kewujudan UMNO antara keutamaannya adalah menentukan kejayaan negara melalui pilihan raya, tadbir urus dengan fokus kepada agama dan bangsa tetapi ada kepimpinan yang gagal melaksanakan amanah dan menterjemahkannya ke akar umbi.

“Justeru kita tidak mahu pemimpin yang baling batu sembunyi tangan khususnya dalam keadaan UMNO benar-benar perlu bangkit dan bersatu sepenuhnya, malah orang seperti ini perlu diberi pengajaran.”

Dalam hal ini beliau menekankan bahawa demokrasi yang diangkat UMNO adalah menentang mereka yang merosakkan parti dengan memilih yang benar-benar tulus mahu berkhidmat demi agama, bangsa dan tanah air.

“Dalam menterjemah demokrasi ini kita perlu tentang dan tandingi pemimpin yang telah mensabotaj parti, mereka yang tidak membantu calon BN dan pemimpin yang hanya berpura-pura demi kepentingan peribadi sahaja.”

Ujarnya biarpun pemimpin boleh merancang namun ketidakjujuran dan ketidakikhlasan dalam perancangan akan ditolak.

“Kita sebagai manusia perancang dan Tuhan penentu segalanya. Pemilihan ini perlu digunakan sebaiknya oleh akar umbi untuk menentukan hala tuju Bahagian seterusnya pusat agar mereka yang terpilih bukan menjadi duri dalam daging sebaliknya mereka yang terpilih ini adalah yang dapat memberikan pembelaan dan kesejahteraan kepada rakyat.”

Jelasnya, apa-apa pun tanggapan berkaitan pemilihan sememangnya diakui bahawa ia mempunyai kesan namun dalam keadaan UMNO hari ini keutamaan adalah untuk mengelakkan perpecahan yang lebih besar apatah lagi selepas Pilihan Raya Umum lalu.

“Kita perlu elakkan perpecahan dalam UMNO kerana kita sedang dituntut untuk kembali teguh dan berpadu. Kalau ketua tak bagus sayalah orang pertama yang akan menentang habis-habisan sebaliknya jika kita bersatu semula dalam satu wadah baharu dengan bangkit semula sebagai sebuah parti digeruni sebelum ini,” katanya

Beliau turut memberikan pandangan berkaitan gesaan segelintir pihak yang mahukan mantan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali aktif dalam parti.

“Kita sanjung keprihatin Tan Sri Shahrizat tetapi bukan dengan cara bertanding semula dalam parti yang tentunya hanya akan mencemarkan kredibiliti beliau sebagai tokoh wanita disegani.

“Saya akui beliau mempunyai pengaruh yang luas dan mampu mengubah landskap politik dalam Wanita UMNO namun sebagai tokoh terbilang amat wajar sekiranya Tan Seri Shahrizat menjadi penasihat atau penenang parti bagi mengelak pepecahan.

“Kepimpinan Tan Sri Shahrizat boleh diaplikasi untuk bersama-sama memartabatkan wanita dan memberikan tauladan kepada golongan pelapis agar Wanita UMNO itu sendiri menjadi lebih ampuh serta tidak berpecah melalui pertandingan.”

Sharifah Azizah juga memaklumkan bahawa pada era pentadbiran Datuk Seri Noraini Ahmad sebagai Ketua Wanita UMNO, suasananya amat berbeza berbanding dengan keupayaan parti sebelumnya.

“Datuk Seri Noraini menerajui Wanita UMNO dalam keadaan Barisan Nasional bergelar pembangkang, mengemudi jentera Wanita dalam semangat juang mendepani pelbagai cabaran termasuk pilihan raya kecil malah kemudiannya, beliau korbankan jawatan menteri semata-mata untuk memperjuangkan hak UMNO dan bukan kepentingan peribadinya.”

Sharifah Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota berkata, untuk pemilihan kali ini jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang yang disandangnya sejak 1993 akan terus dipertahankan.

“Apa yang pasti saya mahukan yang terbaik untuk UMNO dan UMNO juga memberikan yang terbaik dalam khidmat kepada rakyat demi mempertahankan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.”

Dalam hal ini beliau memaklumkan jawatan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang digalaskan dibahunya sejak tahun 2000 bagaimana pun akan dipertimbangkan dan akan dimaklumkan sebelum tempoh pendaftaran calon tamat nanti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.