Pemilihan UMNO 2023: JPU Terima Satu Aduan, Bakal Calon Langgar Tataetika
KUALA LUMPUR, 13 Feb – Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad memaklumkan bahawa beliau telah menerima aduan mengenai kesalahan tataetika yang telah dilakukan oleh calon meskipun proses pendaftaran calon belum bermula.
Tegasnya, sebagai seorang calon yang berhasrat untuk menawarkan diri bagi sesuatu jawatan harus memahami segala tataetika telah ditetapkan dalam perlembagaan UMNO.
“Ini yang saya ingin tegaskan bahawa sebenarnya kita sebagai calon, harus memahami tataetika UMNO itu sendiri. Dalam perlembagaan UMNO ada bahagian tataetika untuk ahli dan ianya berkuat kuasa dalam tempoh pemilihan bermula daripada 1 Februari lalu.
“Jadi, tidak ada apa-apa sebab bagi mana-mana calon sengaja melanggar tataetika ini lebih-lebih lagi melakukan salah laku terlarang tersebut. Kita bertanding, menawar diri untuk jawatan-jawatan dalam parti. Maka, sebagai calon sepatutnya kita sudah memahami perlembagaan parti apatah lagi segala perkara larangan dan keperluan dalam tataetika ahli.
“Tiada sebab mana-mana calon nak menyatakan dia tidak tahu tentang tataetika. Sekiranya beliau tidak tahu tataetika dan perlembagaan parti, beliau tidak layak untuk menawarkan diri untuk apa-apa jawatan dalam parti,” katanya kepada UMNO Online semalam.
Menurut Shahrir, beliau telah menerima aduan mengenai salah laku calon yang melanggar tataetika perlembagaan UMNO meskipun proses pendaftaran belum bermula.
“Walaupun awal-awal kami sudah terangkan bahawa tataetika itu sesuatu yang akan menjadi sempadan bagi kelakuan setiap calon, semalam (Sabtu) saya telah sudah menerima aduan tentang salah laku calon.
“Walaupun calon ini belum lagi mendaftarkan diri, tetapi semua mengetahui beliau ingin menjadi calon. Saya telah menerima aduan lengkap dengan pengakuan bersumpah (SD) daripada mereka yang telah menyaksikan ataupun telah terlibat dalam salah laku berkenaan.
“Jadi, segala keputusan tentang salah laku ini akan disegerakan oleh Lembaga Disiplin UMNO,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak JPU akan bertindak tegas untuk segala salah laku yang dilakukan oleh calon-calon bagi pemilihan kali ini.
“Saya harap mana-mana calon, janganlah fikirkan ini keadaan biasa kita nak ‘sedekah’, beramah mesra, menolong kawan-kawan dan sebagainya. Sebenarnya, tidak ada sebab calon tersebut melakukan apa-apa kesalahan yang dilarang terutamanya dari segi menggunakan wang, sogokan dan sebagainya.
“Kita akan bertindak tegas. Pengadu akan dipanggil kemudian dalam proses siasatan itu kita panggil pengadu dahulu dan kemudian kita akan panggil orang yang melakukan kesalahan tersebut,” katanya lagi. – UMNO Online