MSN, KHM Wajar Pertimbang Semula… Setimpalkah Hukuman Dengan Kesalahan?

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Karier sebagai seorang atlet sangat singkat dan janganlah disekat penuh bakat permata negara, kata Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia Datuk Norshida Ibrahim.

Beliau merasa terpanggil untuk meneliti semula kes penggantungan atlet hoki wanita Malaysia, Hanis Nadiah Onn yang tular baru-baru ini.

Katanya, tindakan penggantungan kepada Hanis tidak setara dengan kesalahan yang dinyatakan, hukumannya jauh lebih berat.

“Hanis juga telah menegaskan bahawa kata-katanya tidak berniat untuk menyentuh isu perkauman serta pergaulanya yang baik bersama atlet pelbagai bangsa dalam pasukan hoki juga membuktikan bahawa Hanis bukan seorang yang ‘racist’.

“Apatah lagi, Hanis telah memadam semula kata-katanya dan memohon maaf secara umum dengan tindakannya yang menyebabkan salah faham. Hanis menyatakan kekesalan dan tidak menyedari kata katanya boleh disalah erti,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Tambah Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat itu lagi, dalam hal ini Malaysia berada dalam kerugian sekiranya Hanis selaku pemain utama hoki negara digantung dari mewakili pasukan hoki kebangsaan bagi mana-mana pertandingan antarabangsa termasuk Sukan SEA Kemboja yang akan berlangsung pada Mei 2023.

Justeru itu, Norshida memohon agar Jawatankuasa Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mempertimbangkan semula tindakan yang diberikan kepada atlet hoki wanita kebangsaan ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.