Hari Pertama Pendaftaran Pemilihan UMNO 2023 Berjalan Lancar
KUALA LUMPUR, 13 Feb – Pendaftaran bagi proses Pemilihan UMNO 2023 berjalan lancar pada hari pertama pembukaannya yang bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang di Auditorium Menara Dato’ Onn.
Pendaftaran tersebut adalah bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri yang bermula hari ini sehingga 26 Februari 2023.
Calon atau wakil calon perlu mengikuti beberapa prosedur dengan hadir ke kaunter pendaftaran, semakan dan seterusnya ke kaunter penyerahan borang.
Sementara itu bagi pemilihan jawatan di peringkat Bahagian, Exco Wanita, Pemuda, Puteri bahagian, pendaftaran juga telah dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO Negeri.
Borang boleh diperoleh di Pejabat UMNO Bahagian dan di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri atau bolen dimuat turun melalui laman web rasmi https://umno-online.my.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad menyifatkan proses pendaftaran yang bermula hari ini penting bagi calon-calon yang bakal bertanding.
“Hari yang mustahak dalam proses Pemilihan UMNO 2023 iaitu hari kita mendaftar calon-calon yang ingin bertanding di peringkat bahagian, pusat mahupun sayap di bahagian dan pusat.
“Semua calon boleh datang ke Menara Dato’ Onn (jawatan peringkat Pusat) untuk mendaftarkan diri mereka bermula esok (hari ini) sehingga 26 Februari 2023.
“Tidak perlu berebut dan terkejar-kejar kerana kita mempunyai banyak masa iaitu selama 13 hari untuk mendaftarkan calon-calon yang bertanding,” katanya. – UMNO Online