Demokrasi UMNO Masih Segar Meskipun Dua Jawatan Utama Tidak Dipertandingkan – Fairuz Jamaludin

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaludin berpandangan bahawa keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU)2022 lalu yang meluluskan usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan adalah sebuah bentuk demokrasi.

Ini kerana katanya, keputusan sebulat suara tersebut sudah semestinya menyuburkan amalan demokrasi dalam parti dan dapat mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO.

“Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan memberi bukti bahawa demokrasi masih segar dalam parti dan ianya dapat mengembalikan sokongan rakyat. Keputusan telah dibuat secara sebulat suara oleh perwakilan PAU 2022 dan ianya amat bertepatan.

“Kita hendak memastikan supaya UMNO semakin stabil. Saya percaya pemilihan pada musim ini dikawal oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) adalah telus. Kita telah nampak pesta demokrasi sedang berlangsung.

“Sejarah telah membuktikan bahawa pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden boleh menyebabkan perpecahan. Pemilihan pada tahun 1987 memperlihatkan adanya pertandingan jawatan Presiden antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, maka berpecahlah UMNO serta wujudnya Semangat 46,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ledang menasihatkan semua perwakilan yang akan mengundi calon-calon di bahagian mahupun Pusat agar menyelidik latar belakang pemimpin tersebut.

“Cuba kaji dan selidik dahulu siapa pemimpin yang hendak dipilih. Lihat latar belakangnya kerana undi ini adalah penentu masa depan UMNO. Sekiranya kita tersalah pilih, maka kita akan dapat apa yang dipilih itu,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.