Pemilihan UMNO 2023: Proses Pendaftaran Calon Akan Bermula Esok

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Proses pendaftaran calon bagi Pemilihan UMNO 2023 akan bermula esok (Isnin, 13 Feb) sehingga 26 Februari 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad berkata, persiapan bagi proses pendaftaran tersebut telah lengkap dan para calon boleh datang ke Menara Dato’ Onn di sini bermula esok.

“Esok ialah hari yang mustahak dalam proses Pemilihan UMNO 2023 iaitu hari kita mendaftar calon-calon yang ingin bertanding di peringkat bahagian, pusat mahupun sayap di bahagian dan pusat.

“Jadi, persiapan dari segi pendaftaran calon-calon itu sudah pun lengkap. Semua calon boleh datang ke Menara Dato’ Onn (jawatan peringkat pusat) untuk mendaftarkan diri mereka bermula esok sehingga 26 Februari 2023.

“Tidak perlu berebut dan terkejar-kejar kerana kita mempunyai banyak masa iaitu selama 13 hari untuk mendaftarkan calon-calon yang bertanding,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, proses pengundian akan berlaku di peringkat bahagian dan beliau berharap agar urus setia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Pengerusi JPU Bahagian masing-masing.

“Saya selaku Pengerusi JPU berharap agar para urus setia di bahagian memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Pengerusi-Pengerusi JPU peringkat bahagian kerana pengundian kita akan berlaku di peringkat tersebut.

“Saya harap peringkat bahagian akan beri kerjasama sepenuhnya kepada Pengerusi JPU untuk bersama-sama mengendalikan pemilihan di peringkat bahagian dan pusat bermula daripada proses pendaftaran calon-calon sehingga hari mengundi.

“Saya harap kedua-dua pihak apabila bekerjasama, dapat mengembalikan proses yang baik dalam pengundian pemilihan kita pada tahun ini. Saya berterima kasih kepada tawaran khidmat Veteran UMNO kerana mereka semua berada di bahagian-bahagian memberi kerjasama untuk memantau perjalanan pemilihan pada kali ini,” katanya lagi.

KUALA LUMPUR 12 FEBRUARI – Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Tan Sri Shahrir Abdul Samad hadir ketika ‘rehearsal’ dan simulasi serahan borang pencalonan pemilihan UMNO 2023- 2025 di Auditorium UMNO Aras 4 Menara Dato’ Onn sebentar tadi.- Foto: MediaUMNO

Borang pendaftaran calon bagi Pemilihan UMNO 2023 boleh didapati di laman sesawang www.umno-online.my (klik di sini untuk muat turun borang) mulai semalam.

Bagi calon-calon di peringkat bahagian boleh mengemukakan kembali borang yang telah lengkap ke bahagian masing-masing manakala calon bagi peringkat pusat perlu menghantar borang tersebut ke Auditorium Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn.

Borang tersebut boleh dihantar ke tempat yang dimaksudkan bermula 13 Februari manakala tarih terakhir untuk menyerahkannya adalah pada 26 Februari. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.