Peruntukan Pembangunan Ahli Parlimen Ditambah Semula Jika Kewangan Negara Semakin Baik

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata elaun pembangunan Ahli Parlimen akan ditambah semula apabila kedudukan kewangan negara bertambah baik.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah optimis Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menambah semula elaun berkenaan dijangka pada akhir tahun ini atau tahun hadapan.

“Kita tahu Belanjawan (2023) yang akan dibentangkan pada 24 Feb ini mempunyai kekangan dari segi untuk menguncupkan perbelanjaan yang seimbang dari 5.5 peratus ke lima peratus.

“Ahli-ahli Parlimen mempunyai kebertanggungjawaban bukan sahaja untuk menjaga kawasan mereka malah mempunyai pelbagai permintaan (dari segi peruntukan pembangunan)… tentunya bebanan dan jangkaan itu tinggi, namun pada waktu sama atas kekangan kewangan itu, saya fikir kita harus bersabar sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-19 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Justeru, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional meminta setiap Ahli Parlimen untuk memberikan perkhidmatan yang berterusan di kawasan mereka biarpun jumlah elaun pembangunan dikurangkan.

Pada 3 Feb lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengesahkan terdapat pengurangan elaun pembangunan Ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta, bertujuan untuk mengawal kewangan negara dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.