Malaysia Teguh Sokong 5PC Untuk Capai Penyelesaian Aman Dan Mampan Terhadap Isu Myanmar

PUTRAJAYA, 11 Feb – Malaysia akan terus bekerjasama rapat dan konstruktif dengan negara anggota ASEAN dalam usaha untuk membantu Myanmar mencapai penyelesaian yang aman dan mampan terhadap situasi di Myanmar.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata ia selaras dengan keperluan untuk memenuhi dan melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang telah diterima pakai oleh Pemimpin ASEAN pada April 2021.

“Dalam hal ini, Malaysia menyokong usaha yang dibuat oleh ASEAN di bawah kepimpinan Indonesia dan melalui Duta Khasnya seperti yang disepakati oleh ASEAN pada Pemukiman Menteri-menteri Luar di Jakarta baru-baru ini.

“Dalam ucaptamanya kepada Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand di Bangkok pada Jumaat (10 Feb), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penekanan untuk membina ‘konsensus yang kukuh dalam memberikan mesej kuat kepada rejim Myanmar’ untuk menamatkan diskriminasi, keterpinggiran, intimidasi dan keganasan terhadap rakyat Myanmar.

“Ini selaras dengan prinsip yang dipegang oleh Malaysia dan akan terus mempromosikan ia sama ada di dalam dan luar negara,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata Perdana Menteri telah menyuarakan kepada semua negara anggota supaya tidak membenarkan isu Myanmar mengalih perhatian badan serantau itu daripada meneruskan usaha sama yang lebih kukuh dalam mempromosikan keamanan, keselamatan dan kemakmuran untuk ASEAN dan rakyatnya seperti yang dibayangkan untuk Komuniti ASEAN.

Pada 1 Feb 2023 menandakan sudah dua tahun tentera yang diketuai oleh ketua tentera Jeneral Kanan Min Aung Hlaing menguasai Myanmar dan sejak itu negara itu bergolak serta mencetuskan pertempuran di seluruh pelosok negara selain menjejaskan ekonomi.

Rejim tentera Myanmar telah melanjutkan perintah darurat selama enam bulan lagi serta menangguhkan pilihan raya junta yang sepatutnya diadakan menjelang Ogos ketika pihak junta bertindak memerangi pejuang antirampasan kuasa di seluruh negara.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.