Isu Dominasi Orang Melayu Dalam Perkhidmatan Awam: Hasmuni Jawab Dakwaan Ramasamy

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia Datuk Hasmuni Hassan membidas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy agar jangan menghina orang Melayu seolah-olah orang Melayu ‘tidak boleh pergi jauh’ dan hanya bergantung pada bekerja dengan kerajaan semata-mata.

Tegas Bendahari Pemuda UMNO Negeri Kedah itu dalam satu kenyataan hari ini, isu majoriti orang Melayu bekerja di dalam perkhidmatan awam tidak perlu disebut-sebut lagi.

“Orang Melayu bekerja dengan kerajaan disebabkan rasa tanggungjawab, kesetiaan dan kredibiliti mereka dalam pekerjaan tersebut. Mereka memasuki perkhidmatan awam dengan kredibiliti mereka, melalui proses saringan yang terbuka dan standard.

“Kedua, orang bukan Melayu tidak berminat dengan perkhidmatan awam kerana mereka memikirkan skim gaji yang kecil. Sementara orang Melayu sanggup berkhidmat dengan kerajaan atas semangat patriotisme dan memastikan agar negara dapat ditadbir dengan baik.

“Tidak ada diskriminasi kepada mana-mana kaum untuk menyertai perkhidmatan awam kerana jawatannya ditawarkan secara terbuka dan pemilihannya dibuat dengan saringan yang memenuhi piawai dan kehendak pekerjaan itu sendiri,” kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu itu lagi.

Hasmuni memberi respon demikian merujuk kepada kenyataan Ramasamy yang menggesa Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya “memecah monopoli orang Melayu dalam perkhidmatan awam”.

Katanya Ramasamy lagi, monopoli orang Melayu dalam perkhidmatan awam adalah “dasar Mahathirisme” kononnya untuk mengimbangi ‘penguasaan’ orang Cina dalam ekonomi melalui kemasukan pelabur asing dan pertumbuhan syarikat berkaitan kerajaan.

Seterusnya, Timbalan Pengerusi Dap Pulau Pinang itu juga menolak alasan bahawa orang bukan Melayu tidak berminat dengan perkhidmatan awam disebabkan kekurangan prospek kenaikan pangkat.

Justeru, Hasmuni mengingatkan kepada Ramasamy agar jangan bermain api atau ‘menjolok sarang tebuan’ dengan sengaja membangkitkan perkara ini hanya disebabkan perasaan prejudis beliau terhadap Perdana Menteri.

“Ramasamy mungkin takut dengan bayang-bayang sendiri atau tidak yakin dengan Perdana Menteri disebabkan konsep Malaysia Madani yang membangkitkan semangat kebangsaan yang sejati.

“Kita ‘bermain di padang yang rata’,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.