Manfaat Mesyuarat Cawangan, Pemilihan Demi Kelangsungan Perjuangan UMNO – Jamal

PAPAR, 10 Feb – Sekarang ini sedang rancak berlangsung mesyuarat peringkat Cawangan UMNO yang serentak dengan pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, pemuda, wanita dan puteri cawangan yang bermula sejak 1 Februari sehingga 26 Februari ini.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi mengajak anggota parti khususnya di peringkat akar umbi bagi memanfaatkan mesyuarat Cawangan bagi mengembalikan UMNO sebagai landasan perjuangan terulung yang tiada tolok bandingnya.

“Dalam persidangan di peringkat Cawangan UMNO dan pemilihan parti yang sedang dilaksana ini maka sewajarnya kita aplikasi ia sebagai peluang terbaik kepada anggota parti untuk kembali berpadu demi memperkukuh dan memperteguh perjuangan.

“Apatah lagi selepas UMNO berdepan dengan gelombang besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu, kemudian diikuti Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 dan juga keputusan terbaharu Majlis Kerja Tertinggi dalam usaha pembersihan parti, pastinya banyak perkara perlu dikemaskan kembali dan UMNO mesti terus teguh.

“Pemilihan yang dilaksana ini adalah terjemahan daripada demokrasi UMNO namun ia bukanlah untuk perpecahan sebagaimana yang dimomokkan segelintir pihak sebaliknya ia adalah demi kelangsungan perjuangan agar kepimpinan yang ada dalam parti benar-benar menterjemah amanah dan tanggungjawab,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, demi perpaduan dan pengukuhan, UMNO mesti mesti kembali bergerak dalam landasan perjuangan yang berpaksikan agama, bangsa dan negara dengan menolak apa-apa kepentingan peribadi.

“UMNO mendukung demokrasi dengan menentang mereka yang merosakkan parti sebaliknya memilih yang benar-benar tulus mahu berkhidmat demi agama, bangsa dan tanah air.

“Tambahan pula UMNO ini adalah sebuah parti yang berorganisasi, mempunyai hala tuju yang jelas, memiliki Perlembagaan sehinggakan untuk persidangan di semua peringkat pun ahli-ahlinya mesti akur kepada tataetika yang telah digariskan termasuklah pemilihan parti sekalipun.

“Apa-apa juga keadaan pun, politik khidmat bakti yang amat sinonim dengan UMNO mesti dilaksana berterusan kerana kewujudan UMNO adalah agenda berterusan demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara,” katanya.

Dilaporkan, mesyuarat Cawangan dan pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, pemuda, wanita dan puteri cawangan akan berlangsung selama 26 yang kemudian disusuli Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2023.

Seterusnya, mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.