Wanita UMNO Banyak Laksana Perubahan, Terus Fokus Perjuangan Parti – Rosni

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Banyak perubahan yang telah dilakukan oleh Wanita UMNO termasuk dalam era pentadbiran terni melalui Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad, kata Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Sohar.

Jelasnya, salah satu perubahan ketara yang dilakukan oleh Noraini ialah dengan membuka seluas-luasnya peluang kepada golongan wanita menambah ilmu menerusi program Malaysia Qualifications Agency (MQA).

“Sebenarnya, banyak perubahan yang dibuat oleh Datuk Seri Noraini semasa era pentadbiran beliau biarpun baru ‘lead’ dalam masa empat tahun lebih.

“Terdapat beberapa perkara contohnya semasa beliau di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), peluang seluas-luasnya dibuka kepada wanita untuk meningkatkan ilmu melalui program MQA dan nampaknya diceburi oleh ramai wanita UMNO sehingga mendapat sijil pengiktirafan.

“Ini satu perubahan yang ketara, bukan setakat pemimpin UMNO tetapi diuar-uarkan di luar sana, tanpa mengira parti. Ianya satu perubahan baik dibuat, begitu juga tentang isu-isu yang kita perjuangkan,” katanya semasa wawancara secara langsung bersama MalaysiaGazette, semalam.

Menurut Rosni, beliau yakin dan percaya bahawa Noraini akan memberikan fokus kepada perjuangan lebih besar sekiranya diberikan mandat pada pemilihan kali ini.

“Saya yakin dan percaya sekiranya Datuk Seri Noraini diberi peluang pada pemilihan kali ini, beliau akan menumpukan sebenar-benarnya fokus perjuangan yang lebih besar terutamanya untuk rakyat.

“Untuk pemilihan kali ini, bagi jawatan ketua wanita saya berharap tidak perlulah ada pemilihan buat masa ini. Ini kerana keadaan parti yang begitu mencabar, sedang menurun, berhadapan dengan persepsi rakyat dan macam-macam lagi. Wanita merupakan tulang belakang parti dan sangat penting dilihat tidak berpecah.

“Sebab itu Wanita UMNO perlu berdamai dan perlu diperkasakan. Kali ini saya mengharapkan supaya Tan Sri Shahrizat dan Datuk Seri Noraini duduk bersama, begitu juga dengan kita yang lain. Menang atau kalah tidak jadi apa seperti menang jadi arang, kalah jadi abu,” katanya lagi.

Saingan merebut jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti bulan depan dijangka menarik selepas beberapa nama dikhabarkan sedia bertanding termasuk kemungkinan kemunculan semula tokoh lama sayap itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.