UMNO Tidak Tandus Pemimpin, Pemilihan Bakal Meriah Dengan Pelbagai Kombinasi Tawar Diri – Sharkar  

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Pemilihan UMNO yang berlangsung pada tahun ini menyaksikan pemimpin di pelbagai peringkat cuba menawarkan diri masing-masing untuk bertanding dan mendapat kepercayaan ahli termasuklah sayap parti dan juga peringkat Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Biarpun dua jawatan utama Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, kehangatan dan bahang pemilihan parti tetap terasa apabila ramai yang mengintai untuk mengisi jawatan di peringkat Naib Presiden dan kepimpinan di peringkat bahagian serta cawangan.

Mengulas soal ini, Ahli Majlis Kerja tertinggi UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berpandangan inilah unik dan kelebihan yang ada pada UMNO yang memperlihatkan kepada umum bahawa parti tidak ketandusan pemimpin untuk diketengahkan.

Malah kata beliau yang juga Ketua UMNO Temerloh, desas-desus yang berlegar di seluruh negara bahawa ramai pemimpin yang akan bertanding di pelbagai peringkat pada kali ini menyerlahkan segala-galanya bahawa perjuangan UMNO terus bersemarak.

“Walaupun pelbagai telahan dan pelbagai tohmahan dilontarkan termasuklah pihak lawan kepada UMNO, ianya tidak menjejaskan minat dan juga keinginan pemimpin termasuklah kalangan pimpinan muda untuk meneruskan perjuangan hari ini.

“Pemimpinnya silih berganti dan UMNO, alhamdulillah tetap menjadi wadah dan platform kepada mereka yang ingin terus berjuang secara ikhlas demi kepentingan orang-orang Melayu khususnya dan seluruh rakyat negara ini,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Bulan ini berlangsung pemilihan dan mesyuarat di peringkat cawangan dan seterusnya peringkat bahagian dan kepimpinan tertinggi parti pada Mac.

Sharkar seterusnya menambah dalam apa jua senario dan keadaan, UMNO perlu terus bergerak ke depan dengan menempuh cabaran terkini terutama pasca Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dan tidak perlu lagi menoleh ke belakang.

Justeru katanya kepada mereka yang akan bertanding dan menawarkan diri untuk bertanding dalam apa jua jawatan, genggamlah perjuangan parti sebaiknya dan sama-sama bergading bahu dalam usaha meletakkan perjuangan parti yang diasaskan oleh pimpinan terdahulu berada pada landasan kecemerlangan.

“Di bahu kita terletak harapan ahli-ahli untuk melihat parti terus mengorak langkah ke depan. Di bahu kita nanti akan terletak kepercayaan ahli parti untuk melihat UMNO terus menempa kejayaan dan gunalah platform yang ada ini sebaiknya,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.