UMNO Telah Kemuka Maklumat Diperlukan RoS – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 9 Feb – UMNO telah mengemukakan semua maklumat yang diperlukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 untuk jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata segala penjelasan serta maklumat yang diperlukan telah diserahkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan kepada jabatan itu.

“Kami diberi masa 60 hari untuk memberikan penjelasan terperinci. Saya percaya setiausaha agung kami telah memenuhi semua permintaan RoS dan memberikan semua maklumat yang diperlukan,” kata beliau pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan aduan dua ahli UMNO pada 20 Jan lepas kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022.

Aduan berhubung dua jawatan yang tidak dipertandingkan itu dikemukakan oleh ahli UMNO Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap RoS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.

Majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan agung parti itu menyatakan sokongan terhadap usul tambahan dicadangkan wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang.

Ahmad Zahid berkata perjalanan perhimpunan agung parti itu mengikut peraturan dan perlembagaan parti.

“Pada hemat saya adalah adil RoS dengar penjelasan dan aduan kedua-dua belah pihak bagi wujudkan suasana harmoni dikalangan ahli dan kepimpinan agar tidak timbul taksiran atau interpretasi pelbagai,” kata beliau.

Ditanya sama ada UMNO telah menerima surat rayuan daripada Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram Datuk Maulizan Bujang yang digantung keahliannya, Ahmad Zahid berkata beliau belum menerima lagi menerimanya.

“Saya tidak menerima (apa-apa) surat rayuan (daripada mereka)… (jika mereka memberi surat itu) saya akan terima dan serahkan kepada lembaga disiplin untuk mengkajinya,” kata beliau.

Keahlian Hishammuddin dan Maulizan dalam parti digantung selama enam tahun. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.