Pemilihan Ke Arah Penyatuan UMNO, Usaha Perkukuh Parti Demi Kesinambungan Perjuangan
KUALA LUMPUR, 9 Feb – Pemilihan UMNO yang berlangsung serentak dengan mesyuarat untuk peringkat Cawangan telah bermula 1 hingga 26 Februari ini.
Dalam hal ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor menekankan bahawa persidangan dan pemilihan UMNO di peringkat akar umbi adalah manifestasi keseimbangan UMNO sebagai sebuah parti politik yang berorganisasi, patuh pada perundangan dan mempunyai Perlembagaan serta tataetika sendiri.
Katanya, UMNO sebagai sebuah parti dinamik bergerak dan berkembang selari keperluan semasa malah kelangsungan perjuangan ini dipelihara melalui gerak kerja dan pemerkasaan yang bermula di akar umbi sekarang ini.
“Mesyuarat Cawangan dan pemilihan parti yang dibuat sekarang ini di seluruh negara adalah realiti anggota akar umbi mahu memastikan kesinambungan UMNO dengan mendukung demokrasi yang tetap segar dipertahankan,” katanya kepada UMNO Online.
Jelas beliau, mana-mana Cawangan yang ada pertandingan atau pemilihan tentunya dilaksana bersandarkan kepada fokus untuk memperkukuhkan UMNO.
“Tidak benar bahawa perpecahan akan berlaku kerana tentunya sebagai anggota parti yang matang akan dapat membuat penilaian terbaik dalam hasrat mengembalikan kesatuan UMNO sebagai sebuah parti politik yang ampuh.
“Sekiranya ada pertandingan, maka ia akan dilaksana secara bijaksana bak kata pepatah ibarat menarik rambut dalam tepung, maka rambut jangan putus dan tepung jangan berselerak.
“Begitu jugalah UMNO yang mendepani pemilihan, kerana kita mahukan kelangsungan perjuangan tanpa ada perpecahan malah dengan adanya pelaksanaan yang dibuat mengikut tatacara yang ditetapkan maka tentunya ia akan dapat mengembalikan UMNO sebagai parti yang diyakini.”
Ujarnya, sebagai ahli UMNO beliau menyokong keutamaan parti dan sebagai wakil rakyat pula beliau memahami amanah yang tergalas dengan fokus kepada rakyat.
“Saya dalam UMNO memahami bahawa kita perlu terus bekerja dan bekerja, laksanakan politik khidmat bakti dengan menyantuni masyarakat iaitu bukan hanya melihat kepada tarikh pilihan raya semata-mata kerana rakyat sendiri bijak menilai.”
Tegasnya, biarpun Pilihan Raya Negeri Kedah bakal diadakan dalam masa terdekat namun usaha dan amanah yang tergalas di bahunya tidak pernah menjadikannya kerja ikut musim.
“Kita laksana tugas setiap masa, bukan kerana pilihan raya, bukan kerana nak pemilihan UMNO atau kerana ada apa-apa agenda lain kerana kita sentiasa mahukan yang terbaik untuk semua khususnya kepada rakyat,” katanya lagi.
Lantaran itu, beliau menyeru setiap anggota UMNO di akar umbi agar terus fokus kepada usaha meyemarakkan perjuangan parti iaitu demi agama, bangsa dan tanah air.
“Inilah platform perjuangan kita maka marilah kita terus ‘bersatu, bersetia dan berkhidmat’,” katanya lagi.
Dilaporkan selepas persidangan peringkat Cawangan akan disusuli mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa UMNO bahagian bersama pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.
Sebelum itu, mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac. – UMNO Online