Malaysia Mesti Keluar Daripada Perangkap Pendapatan Sederhana – TPM Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Malaysia mesti keluar daripada perangkap berpendapatan sederhana selepas berada selama lebih dua dekad dalam perangkap tersebut sebagaimana diklasifikasikan oleh Bank Dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata hakikatnya jika Malaysia gagal meningkatkan kelebihan daya saing dan daya tarikannya sebagai pusat pelaburan, maka pesaingnya akan terus maju sekali gus menjejaskan kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat biasa.

Beliau berkata kerajaan komited untuk mewujudkan persekitaran ekonomi Malaysia yang membolehkan rakyat membangunkan potensi diri mereka dengan setiap daripada rakyat Malaysia dapat memenuhi potensi diri tatkala usahawan dan semangat keusahawanan adalah amat penting.

“Ke arah mencapai sasaran ini, kerajaan akan terus berusaha mengurangkan kerenah birokrasi yang menghalang perniagaan dan usahawan untuk mengaut keuntungan, membayar bahagian cukai mereka yang saksama, dan mewujudkan pekerjaan berkualiti adalah sesuatu perkara yang baik, ia mesti dipermudahkan di semua peringkat kerajaan sama ada peringkat Perpersekutuan, negeri atau tempatan.

“Perlu ada anjakan minda secara berterusan bahawa sektor swasta adalah enjin utama pertumbuhan negara, ia mesti terus makmur negara terus maju. Malaysia mesti keluar daripada perangkap berpendapatan sederhana yang kita hadapi sekarang dan mengambil tempat yang sepatutnya sebagai negara berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Ahmad Zahid berucap demikian ketika merasmikan seminar anjuran MarkPlus Institute ASEAN bertajuk “Entrepreneurial Marketing: How to Grow your Business Post-Pandemic” (Pemasaran Keusahawanan: Cara Mengembangkan Perniagaan Anda Pasca Pandemik), di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata dalam tempoh tiga tahun lalu, Malaysia telah melihat bagaimana perniagaan terpaksa menghadapi pelbagai cabaran global termasuk pengalaman pahit semasa pandemik COVID-19.

Beliau berkata bergerak maju selepas pandemik, teknologi masih merupakan satu-satunya faktor terpenting yang terus mengubah landskap sosioekonomi dan mempengaruhi pilihan pengguna, begitu juga faktor manusia.

“Nilai sebenar teknologi, akhirnya masih bergantung kepada faktor manusia. Ya, memang benar pada tahap tertentu penggunaan teknologi sememangnya membantu perniagaan untuk berkembang dan mengaut keuntungan, namun ia mempunyai hadnya kerana menerusi analisis akhir, manusia dan bakat di sebalik aplikasi, mesin dan proses yang menentukan tahap keberhasilan.

“Namun dalam zaman teknologi ini, untuk mencapai hasil yang optimum, manusia dan teknologi mesti terus digunakan dengan lebih cekap dan lancar. Ini penting bagi mana-mana organisasi bukan sahaja untuk bertahan tetapi untuk terus berkembang maju,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid yang merupakan bekas usahawan, berkongsi tiga ‘panduan’ bernilai mengenai keusahawanan dan pemasaran yang meninggalkan kesan terhadap dirinya, iaitu sentiasa memerhatikan peluang, menjaga dan melindungi tetapi tegas, setiap orang harus yakin untuk mencipta dan memupuk rangkaian mereka sendiri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.