Mesyuarat Pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan Tumpu Pengukuhan Dan Agenda Rakyat

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang didokong oleh empat parti gabungan dan satu parti tunggal sebulat suara menubuhkan tiga jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa Perundingan Kerusi, Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik serta Jawatankuasa Komunikasi Strategik.

Ketua Sekretariatnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi Facebooknya berkata empat parti gabungan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gagasan Rakyat Sarawak (GRS) serta parti Warisan bersetuju untuk menjayakan langkah tersebut.

“Pertamanya Jawatankuasa Perundingan Kerusi yang mana melibatkan Pengarah-Pengarah Pilihan Raya dan wakil-wakil parti-parti gabungan utama (PH, BN, GPS dan GRS) dan parti Warisan untuk memulakan perundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya-Pilihan Raya Negeri terutamanya Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Keduanya Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik untuk menyelaraskan dan menilai pencapaian dalam aspek pelaksanaan intipati manifesto parti-parti gabungan oleh Kerajaan bagi manfaat rakyat terutamanya yang berhubung dengan kesejahteraan hidup, bebanan kos sara hidup rakyat, pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar. Jawatankuasa ini juga berperanan menyediakan kertas-kertas perancangan strategik mengenai hala tuju kerjasama dan masa hadapan hubungan setiap parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Seterusnya Jawatankuasa Komunikasi Strategik untuk menyelaras dan merencanakan program penerangan bersama di kalangan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia sehingga ke akar umbi di samping menangani optik dan naratif komunikasi kepada rakyat menggunakan pelbagai platform media,” katanya.

Asyraf seterusnya menambah secara keseluruhannya terdapat 20 parti-parti yang mendokong dan menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia dengan jumlah 148 Ahli Parlimen yang menyamai 2/3 majoriti dalam Parlimen.

“Mesyuarat malam tadi sebulat suara bersetuju melantik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Sekretariat manakala, Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Setiausaha Agong. Setiap Ketua-Ketua Parti sama ada Presiden ataupun bagi sesetengah parti Setiausaha Agong yang menjadi Ketua parti akan dilantik secara automatik menjadi Timbalan-Timbalan Pengerusi bagi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.