Sekretariat Kerajaan Perpaduan Setuju Tubuh Struktur Pimpinan Baharu, Capai Kata Sepakat Bentuk Dasar Kerajaan

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Majlis Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang bermesyuarat malam ini telah bersetuju untuk membentuk struktur pimpinan termasuk mewujudkan tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, struktur pimpinan tersebut ditubuhkan untuk memastikan setiap dasar kerajaan dipersetujui secara bersama oleh rakan gabungan.

“Kita telah bersetuju dalam mesyuarat sebentar tadi untuk membentuk struktur pimpinan yang akan bersidang setiap bulan dan jawatankuasa-jawatankuasa dilantik dijadualkan akan melakukan persidangan pertama dalam tempoh beberapa minggu ini.

“Sudah tentunya struktur ini dibentuk untuk memastikan segala dasar kerajaan dipersetujui bersama. Selain daripada jemaah menteri yang mempunyai tugas-tugas tertentu, majlis ini akan memberikan pandangan mereka tentang dasar utama Kerajaan Perpaduan,” katanya pada satu sidang media yang diadakan sebentar tadi di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun itu mengucapkan terima kasih kepada ahli majlis mesyuarat yang memberikan persetujuan untuk beliau mempengerusikan Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Saya berterima kasih kepada semua ahli mesyuarat kerana telah memberikan persetujuan untuk saya mempengerusikan majlis pimpinan ini dan ketua-ketua parti gabungan akan menjadi timbalan pengerusi serta pimpinan lain dilantik sebagai naib pengerusi.

“Sekretariat Kerajaan Perpaduan diketuai oleh diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Sekretariat,” katanya lagi.

Katanya lagi, jawatankuasa yang ditubuhkan ialah Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

“Jawatankuasa ditetapkan ini ada tiga, satu Jawatankuasa Strategi, termasuk komunikasi kerana kadang-kadang kita berdepan dengan kenyataan fitnah melampau contoh isu pembakaran al-Quran.

“Beberapa orang kononnya tokoh-tokoh agama menggunakan kenyataan dalam ucapan mereka seolah-olah kita belum buat apa-apa, padahal pada masa itu kita dah keluarkan kenyataan keras mengecam tindakan mereka. Kementerian Luar juga telah panggil Duta Sweden dan kita keluarkan (kenyataan) pengedaran satu juta naskah Al-Quran,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Jawatankuasan Pilihan Raya pula menumpukan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Jawatankuasa Pilihan Raya menumpukan pilihan raya negeri yang akan diadakan bila-bila masa dan jawatankuasa ini tentunya akan mencadangkan hal-hal PRN terutama pembahagian kerusi untuk mereka pastikan kita punyai tapak kukuh menghadapi PRN.

“Suatu hal disepakati sangat positif bagi saya, kesepakatan dan komitmen semua parti termasuk Sabah dan Sarawak membantu sebagai satu pasukan,” katanya.

Bagi Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik pula jelas Perdana Menteri, akan menumpukan mengenai manifesto kerajaan meliputi pelbagai isu termasuk kos sara hidup rakyat.

“Jawatankuasa berikut Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik mengambil kira pandangan manifesto, melibatkan kos sara hidup (dan) kerjasama antara semua kaum dan negeri,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.