Alhamdulilah… 12 Orang Rakyat Malaysia Di Turkiye Selamat – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri melahirkan rasa syukur apabila mendapat laporan bahawa 12 rakyat Malaysia yang sedang berada di Turkiye berada dalam keadaan selamat.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau turut melahirkan rasa dukacita di atas musibah yang melanda wilayah selatan Turkiye dan utara Syria serta mengorbankan ribuan nyawa.

“Saya amat berdukacita dengan kejadian gempa bumi yang telah meragut ribuan nyawa di wilayah selatan Turkiye dan utara Syria.

“Saya difahamkan dua gempa bumi berskala besar berukuran 7.8 dan 7.5 magnitud telah menggegarkan wilayah Kahramanmaras dan beberapa wilayah kejiranan termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay, dan Kilis yang mengorbankan beribu nyawa,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera itu turut mengucapkan syabas kepada Kerajaan Malaysia kerana bertindak pantas dengan menghantar 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk membantu usaha mencari dan menyelamat.

“Tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia serta Pasukan SMART kerana bertindak pantas menghantar 75 anggota untuk membantu usaha mencari serta menyelamat mangsa gempa bumi. Ini adalah bukti hubungan baik di antara kedua-dua negara.

“Doa dan harapan saya agar kesemua mangsa dapat diselamatkan. Semoga bantuan yang diberikan oleh seluruh negara dapat meringankan beban pasukan penyelamat Turkiye,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail turut menyampaikan salam takziah dan berharap agar keluarga mangsa yang terlibat terus cekal serta tabah dalam menghadapi musibah tersebut.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana mendapat laporan 12 orang rakyat Malaysia yang berada di sana terselamat.

“Saya juga berharap agar keluarga mangsa yang terlibat terus cekal dan tabah dalam menghadapi dugaan ini. Salam takziah kepada Kerajaan serta rakyat Turkiye dan Syria,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan bahawa Wisma Putra mengesahkan 12 rakyat Malaysia yang dilapor berada dalam kawasan gempa bumi di tenggara Turkiye berada dalam keadaan selamat.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pihaknya percaya semua individu terbabit adalah mereka yang bekerja di negara berkenaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.