Pertambahan Enam Lorong Laluan Yong Peng-Skudai, MOF Akan Jumpa PLUS

ISKANDAR PUTERI, 6 Feb – Kementerian Kewangan (MOF) akan bertemu PLUS Malaysia Bhd minggu ini bagi mendengar buah fikiran syarikat itu berhubung permintaan kerajaan Johor untuk menambah daripada empat kepada enam lorong laluan Yong Peng ke Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata permintaan itu sudah lama dibuat bahkan telah melepasi dua Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu PRU14 dan PRU15.

“Ini adalah permintaan ramai supaya kesesakan lalu lintas di laluan lebuh raya tersebut boleh dikurangkan dan ia adalah masalah yang berlarutan sejak sekian lama. Kita lihat dari Melaka ke Seremban sudah ada enam lorong, manakala dari Seremban ke Kuala Lumpur sudah ada lapan lorong.

“(Tetapi) apabila ke negeri Johor cuma ada empat lorong, sedangkan Johor memberikan sumbangan yang begitu besar kepada kekayaan dan pendapatan negara,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat negeri di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis dialog itu Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Menurut Ahmad perbincangan susulan itu menunjukkan kerajaan Persekutuan mengambil berat cadangan berkenaan sekali gus menjadikannya antara projek utama di Johor yang akan dipertimbangkan bagi Belanjawan 2023.

“Itu adalah antara (projek) yang utama, selain daripada usaha mengatasi kesesakan sempadan Johor-Singapura. (Kerajaan Persekutuan) juga akan melihat beberapa masalah lain seperti keperluan hospital, banjir yang kerap kali berlaku di Johor dan sekolah yang perlu dibaiki,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata majlis dialog seterusnya di Perak, dengan Jumaat ini ditetapkan sebagai tarikh akhir bagi kementeriannya menerima sebarang cadangan untuk Belanjawan 2023.

Mengulas mengenai pengurangan peruntukan elaun pembangunan ahli parlimen yang menimbulkan pelbagai reaksi daripada ahli Dewan Rakyat, beliau berkata satu permukiman untuk 148 ahli parlimen blok kerajaan akan diadakan pada 12 Jan ini di Putrajaya berhubung perkara itu.

“Semua ahli parlimen kerajaan akan dijemput untuk permukiman itu dan perkara itu bolehlah dibangkitkan. Kita akan lihat apa jawapan Perdana Menteri pada 12 Feb ini sebelum sidang dewan bermula keesokan harinya,” katanya.

Ahmad turut dijadualkan melawat Jabatan Kastam Diraja di Bangunan Sultan Iskandar Bukit Chagar, di sini petang ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.