Gempa Bumi Turkiye: Majlis Ulama UMNO Gesa Pertubuhan Kebajikan Seluruh Dunia Hulur Bantuan

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Majlis Ulama UMNO menuntut kerajaan dan pertubuhan kebajikan seluruh dunia agar segera menghulurkan bantuan kewangan dan teknikal kepada kerajaan Turkiye serta Syria ekoran musibah gempa bumi awal pagi ini.

Majlis Ulama UMNO mengucapkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Turkiye serta Syria atas musibah yang berlaku tersebut.

“Majlis Ulama UMNO mengucapkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Turkiye serta Syria atas musibah besar yang berlaku akibat gempa bumi berukuran 7.4 skala ritcher awal pagi ini di selatan Turkiye yang telah mengorbankan lebih 500 nyawa rakyat Turki dan Syria.

“Majlis Ulama UMNO menuntut kerajaan dan pertubuhan kebajikan di seluruh dunia segera menghulurkan bantuan kewangan dan teknikal kepada kerajaan Turkiye serta Syria bagi menangani musibah tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, Majlis Ulama UMNO juga secara khusus menyeru kerajaan Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk segera melaksanakan tanggungjawab persaudaraan Islam dengan menghulurkan bantuan.

“Majlis Ulama juga secara khusus menyeru kerajaan Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan dan individu rakyat Malaysia segera melaksanakan tanggungjawab persaudaraan Islam dengan menghulurkan bantuan kemanusiaan serta sumbangan umum kepada mangsa-mangsa yang terjejas.

“Ini selaras dengan gesaan Rasululkah saw

المُسْلِمُ أخُو المُسْلِمِ، لا يَظْلِمُهُ ولا يُسْلِمُهُ، ومَن كانَ في حاجَةِ أخِيهِ كانَ اللَّهُ في حاجَتِهِ.
‘Seorang muslim adalah saudara kepada muslim. Dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya (dizalimi). Sesiapa yang berada dalam keadaan menunaikan hajat saudaranya Allah berada pada keadaan menunaikan hajatnya’,” katanya lagi.

Hari ini, media melaporkan gempa bumi kedua berukuran 7.5 magnitud melanda Turkiye dengan angka korban terkini melepasi 1,400 orang.

Terdahulu, gempa bumi berukuran 7.8 magnitud menggegarkan tenggara Turkiye  pada pukul 4.17 pagi (waktu tempatan) yang mengorbankan lebih 900 orang di Syria dan Turkiye ketika penduduk sedang lena tidur.

Kejadian itu merupakan salah satu gempa bumi terbesar yang melanda Turkiye dalam tempoh satu abad, memusnahkan seluruh bahagian bandar utama di wilayah yang dipenuhi berjuta-juta orang yang melarikan diri dari perang saudara di Syria dan konflik lain. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.