‘Sedekah’ Pilihan Raya: Isham Jalil Gesa Pimpinan Pas Jawab Soalan Rakyat

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil menasihatkan para pimpinan Pas untuk menjawab persoalan rakyat mengenai dakwaan mereka merasuah pengundi dan salah guna dana kerajaan sewaktu berkuasa.

Beliau memberi respons terhadap kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menempelaknya seolah-olah beliau adalah jurucakap kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Laa… Tuan Ibrahim pun sudah koyak dengan saya ka? YB Tuan Ibrahim, saya tidak perlu jadi jurucakap SPRM, sebab saya jurucakap rakyat.

“Rakyat ingin tahu berkenaan penggunaan dana kerajaan berbilion ringgit termasuk rundingan terus projek tebatan banjir RM15 bilion semasa YB jadi Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) serta berkenaan kes rasuah pengundi yang dibuat oleh Perikatan Nasional (PN),” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Isham, isu ini telah dibangkitkan beberapa minggu sebelum SPRM bertindak membekukan akaun rakan gabungan mereka iaitu PPBM.

“Saya telah bawa isu ini beberapa minggu sebelum SPRM bekukan akaun kawan YB iaitu parti PPBM lagi.

“Nasihat saya ialah, apabila rakyat tanya berkenaan isu rasuah pengundi dan salahguna dana kerajaan ini, YB perlu jawab segera,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Isham turut mengajak Tuan Ibrahim untuk berdebat secara terbuka mengenai isu rasuah pengundi dan ‘sedekah’ pilihan raya sekiranya beliau sudi.

“Jangan tunggu saya tanya dulu baru kalut ingin respons. Melainkan jika YB memang tidak boleh jawab atau tiada jawapan sebab tuduhan-tuduhan tersebut semuanya betul.

“Atau jika YB sudi dan bersedia, marilah kita berdebat secara terbuka berkenaan isu rasuah pengundi dan ‘sedekah’ pilihanraya ini,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menempelak Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil dan menegaskan pemimpin itu tidak perlu menjadi jurucakap kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.