PRN: UMNO/BN Selangor Setuju Meterai Kerjasama Bersama PH

SHAH ALAM, 4 Feb – UMNO Negeri Selangor telah bersetuju dengan keputusan dicapai dan akan memulakan rundingan secara rasmi bersama Pakatan Harapan (PH) dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetengah pihak berkenaan PRN di negeri itu sebelum ini hanya bersifat peribadi semata-mata.

“Kebelakangan ini kita mendengar banyak pendapat peribadi daripada rakan kita di peringkat pusat, Kerajaan Perpaduan mengenai PRN. Ada yang telah menyatakan pendapat dan pandangan mereka berkenaan kerusi-kerusi yang akan diberikan serta ditandingi oleh Barisan Nasional (BN).

“Kenyataan mudah balas saya ialah ‘it’s too prematured’ untuk mana-mana pihak memberikan kenyataan yang saya fikir itu hanyalah sifat kenyataan peribadi.

“UMNO Negeri Selangor telah memutuskan dan bersetuju dengan keputusan yang dicapai serta akan memulakan rundingan secara rasmi. Kita telah mengenal pasti kerusi-kerusi yang akan mula dibawa untuk dibincangkan,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di sini, semalam.

Namun demikian, beliau tidak mengumumkan jumlah kerusi sebenar yang akan ditandingi BN dan akan memaklumkannya selepas mencapai kata sepakat.

“Angkanya tidak perlulah saya maklumkan sekarang. Selepas dipersetujui nanti, maka itulah keputusan yang akan kita patuhi dan akan kita pastikan kita tandingi dalam PRN.

“Saya juga telah memaklumkan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bayangan jumlah kerusi yang kita berhasrat untuk tandingi pada PRN akan datang,” katanya lagi.

Untuk rekod, sebanyak enam negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU ke-15 yang lalu iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.