UMNO Pentingkan Kualiti Dari Kuantiti… Pembersihan Proses Survival Parti – Masliha

KUALA LUMPUR, 2 Feb – UMNO kini mementingkan kualiti dari kuantiti dan usaha pembersihan yang dilakukan adalah sebagai salah satu proses survival parti.

Exco Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun berkata, UMNO banyak berjasa kepada rakyat dan kita perlu yakin bahawa parti ini boleh mendapat tempat semula di hati rakyat.

“UMNO ini parti yang banyak jasanya kepada rakyat dan kita perlu yakin bahawa parti ini boleh mendapat semula tempat di hati rakyat. Kita lihat pada suatu masa nanti UMNO pasti akan bangkit semula.

“Pemimpin datang dan pergi, di peringkat akar umbi kita sebenarnya dah dilatih untuk menjadi pemimpin yang cekal dan tabah. Itulah kekuatan akar umbi yang membuatkan UMNO terus bertahan,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, keputusan yang dibuat oleh parti dalam usaha pembersihan tersebut adalah satu ketegasan sejajar dengan kehendak perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk membuang pengkhianat di dalam parti.

“Bagi saya, keputusan yang dibuat itu adalah satu ketegasan yang diambil oleh pucuk pimpinan serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, sejajar dengan kehendak para perwakilan dan akar umbi untuk membuang pengkhianat serta ‘gunting dalam lipatan’ di dalam parti.

“Seperti ayat di PAU baru-baru ini, UMNO kini mementingkan kualiti dan bukannya kuantiti. Usaha pembersihan yang dilakukan oleh parti ini adalah proses survival UMNO sebenarnya.

“Jadi, kita kekal tenang dan teruskan perjuangan serta ingat agenda parti berjuang demi agama, bangsa serta tanah air, Insya-Allah kita boleh bertahan,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai itu turut berkata, mesyuarat cawangan bakal berlangsung akan menjadi medan akar umbi bermusyawarah dan memberi pandangan kepada barisan kepimpinan.

“Mesyuarat cawangan yang akan diadakan sekitar bulan Februari ini adalah medan akar umbi bermusyawarah, merancang strategi baharu untuk parti kerana tidak lama lagi kita akan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Akar umbi akan mengambil peluang ketika ini untuk memberi pandangan dan idea kepada pimpinan melalui usul sekiranya ada,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Masliha turut berpesan kepada ahli dan akar umbi supaya kekal bersatu untuk memulihkan parti serta membuktikan kepada masyarakat bahawa UMNO berpengalaman untuk mentadbir negara.

“Pesanan saya kepada ahli, sekiranya kita kekal bersatu dan bersama insyaallah kita boleh memulihkan parti kita ini tanpa kelihatan berpecah dan berkem-kem.

“Hari ini kita diberi peluang sekali lagi untuk menjadi kerajaan walaupun kita dah kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu, maka gunalah kesempatan ini untuk buktikan pada masyarakat bahawa UMNO sememangnya berpengalaman mentadbir negara.

“Apa yang kita harapkan adalah ekonomi pulih kembali dan negara semakin makmur, dengan bersatu hati kita pasti akan mencapai perkara ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.