Tidak Usah Lagi Bangkit Kisah Lalu, Kita Bina Semula UMNO Alor Setar – Zambri

KUALA LUMPUR, 2 Feb – UMNO bahagian Alor Setar berharap seluruh ahli parti di bahagian itu melihat ke depan tanpa membangkitkan kisah-kisah lalu sebaliknya bersama-sama membina semula kekuatan untuk berdepan cabaran.

Pemangku Ketua UMNO bahagian terbabit, Zambri Mat dalam peringatannya bersama jawatankuasa bahagian tersebut berkata dengan tekad ‘politik kerjasama’ masing-masing perlu ke depan demi suvival parti hari ini.

“Kita perlu melihat kehadapan untuk survival parti kita tanpa mengungkit dan mempertikai perkara yang lalu, dengan tekad ‘politik kerjasama’, kita bina kembali UMNO Alor Setar sebagai satu pasukan yang kukuh dalam mendepani rangka politik baru kini,” katanya menerusi Facebook UMNO Alor Setar.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Alor Setar sebagai persiapan mesyuarat dan pemilihan di peringkat cawangan yang bermula semalam.

Dalam pada itu beliau turut menekankan betapa pentingnya mesyuarat pada kali ini dan pada masa yang sama berharap pemilihan yang berlangsung berjalan dengan baik.

“Kita berharap perjalanan mesyuarat cawangan-cawangan yang akan berlangsung sehingga 28 Februari berjalan dengan lancar.

“Mesyuarat Cawangan UMNO juga merupakan landasan penting bagi memulakan perubahan mengikut corak politik masa kini dan sebagai platform untuk ahli-ahli akar umbi bersama dengan kepimpinan dalam membina serta mengukuhkan semula parti,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.